Ahad, 17 Julai 2022 | 8:26am

RUU Larangan Bertukar Parti tumpuan Dewan Rakyat bermula esok

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 Rang Undang-Undang (RUU) dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat Penggal Kelima Parlimen Ke-14, yang akan bermula esok, dengan tumpuan pastinya terarah kepada RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat bagi 18 Julai 2022 yang disiarkan laman web Parlimen Malaysia, RUU berkenaan berada dalam senarai ke-14 dan akan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Rabu lalu, Wan Junaidi memaklumkan, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dicadang dibahaskan di Dewan Rakyat pada 27 dan 28 Julai ini, tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat dan draf RUU bersama penyata laporan Jawatankuasa Pilihan Khas akan diletak di atas meja Ahli Parlimen pada 18 Julai.

Katanya, bacaan kali pertama RUU itu di Dewan Negara dicadang pada 9 Ogos ini, diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos ini, sebelum dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong antara 11 hingga 26 Ogos untuk diperkenan, manakala pewartaannya dijangka antara 29 Ogos hingga 2 September depan.

Pada 11 April lalu, Dewan Rakyat bersetuju dengan usul supaya RUU Perlembagan (Pindaan) (No 3) 2022 diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk diteliti dan dimuktamadkan, serta RUU berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

RUU lain yang dijangka mendapat tumpuan adalah RUU Antigangguan Seksual 2021, RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCMC) 2020 dan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

RUU Antigangguan Seksual 2021 bertujuan menambah baik sistem keadilan sedia ada menerusi penubuhan tribunal khusus bagi mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, menggunakan standard pembuktian imbangan kebarangkalian dan pemberian pampasan atau ganti rugi kepada mangsa.

Bacaan kali kedua RUU IPCMC 2020 pula sepatutnya dibuat pada27 Ogos 2020, namun ditangguhkan dan dibawa pada sidang Parlimen penggal ini.

RUU itu yang pernah ditarik balik sebelum ini untuk ditambah baik selepas mendapat bantahan beberapa pihak, akan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke arah meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 dibaca kali kedua pada mesyuarat kali ini selepas ditangguhkan pada Disember tahun lalu, berikutan pindaan akta berkenaan dihujani kritikan pelbagai pihak, termasuk berkaitan dakwaan soal penguatkuasaan 'dua darjat' serta peruntukan hukuman dan denda yang terlalu tinggi.

RUU lain yang turut disenaraikan adalah RUU Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, RUU Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2021, RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021, RUU Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 dan RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022.

Selain itu,RUU Racun (Pindaan) 2022, RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022, RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022.

Selain itu, mengikut Aturan Urusan Mesyuarat, usul bagi memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said akan turut dikemukakan esok.

Ia adalah usul pertama dalam senarai usul yang akan dikemukakan selepas sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan tamat.

Usul bagi pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan dua kali sebelum ini, iaitu pada 25 Oktober tahun lalu dan 1 Mac lalu.

Pada 25 Oktober, Wan Junaidi memaklumkan pemilihan bagi jawatan itu ditangguhkan bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Pada 1 Mac pula, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengemukakan usul bagi menangguhkan pemilihan jawatan itu ke mesyuarat kedua Dewan Rakyat bagi penggal ini.

Sebelum ini, blok kerajaan mencalonkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Noor bagi mengisi jawatan itu, manakala blok pembangkang mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Azalina melepaskan jawatan itu pada 23 Ogos tahun lalu, namun beliau terus melaksanakan tugas mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat atas permintaan Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun, selain Ramli turut diberi peluang sama.

Sementara itu, Pertanyaan Bagi Jawab Lisan turut menyenaraikan beberapa soalan yang akan diajukan Ahli Parlimen kepada Perdana Menteri.

Soalan berkenaan membabitkan jumlah rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar dan langkah kerajaan untuk menghapuskan masalah itu, langkah untuk menangani kos sara hidup dan memastikan kestabilan harga barangan serta program yang dirangka kerajaan untuk meningkatkan kesedaran pengundi muda.

Berita Harian X