Sabtu, 16 Julai 2022 | 3:53pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Rekod imunisasi anak, kesihatan dalam MySejahtera

IPOH: Rekod imunisasi kanak-kanak dan saringan kesihatan kini dipaparkan di aplikasi MySejahtera, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, mereka yang sudah mengemas kini aplikasi MySejahtera kini boleh melihat ciri-ciri baharu yang dipaparkan itu.

"Ini membolehkan rekod kesihatan hasil daripada pemeriksaan kesihatan dipaparkan di telefon.

"Pada masa yang sama, ciri baharu untuk rekod imunisasi kanak-kanak, bermula dengan bayi yang dilahirkan pada 1 Julai 2022 juga akan turut dipaparkan pada aplikasi MySejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini hari ini.

Menurutnya, ia adalah langkah awal kementerian untuk platform MySejahtera digunakan bagi pendigitalan maklumat kesihatan yang disimpan secara manual.

"Ini untuk fasa pertama, bagi fasa kedua, buku merah jambu (buku janji temu) yang dimiliki oleh ibu dan bayi mereka (untuk merekodkan perkembangan bayi) juga akan dimasukkan ke dalam MySejahtera.

"Buku merah atau buku derma darah (Perkhidmatan Transfusi Darah Kebangsaan) juga boleh didapati di aplikasi MySejahtera," katanya.

Katanya, akan ada lebih banyak ciri akan dipasang dalam aplikasi itu tidak lama lagi.

AMPAR 16 JULAI 2022. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hadir marasmikan dan melancarkan program Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) di Dewan Komuniti Sahom.STR/BALQIS JAZIMAH ZAHAR

Berita Harian X