Jumaat, 15 Julai 2022 | 2:46pm

Perkhidmatan tren ulang-alik Padang Besar-Hatyai dibuka semula

PADANG BESAR: Setelah dua tahun ditutup akibat pandemik COVID-19, perkhidmatan tren ulang-alik Padang Besar-Hatyai, Thailand dibuka semula, hari ini.

Berikutan, pembukaan itu lebih 100 pengembara dan pelancong domestik serta antarabangsa mengambil kesempatan untuk menggunakan perkhidmatan tren Shuttle State Railway of Thailand (SRT) dari Stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) Padang Besar ke Stesen Kereta Api Hatyai Junction di Thailand.

Tinjauan di Stesen KTMB Padang Besar mendapati, orang ramai terutamanya warga tempatan mula beratur seawal 8 pagi untuk menggunakan perkhidmatan tren itu yang berlepas dari stesen itu pada jam 10.35 pagi hari ini.

Terdahulu, perkhidmatan tren dengan empat gerabak itu tiba di Stesen KTMB Padang Besar sekitar jam 9.25 pagi membawa kira-kira 90 pengembara dari Thailand dan negara lain memasuki negara ini menerusi stesen kereta api itu.

Kebanyakan pelancong dan pengembara yang memasuki negara ini, mahu bercuti ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur di mana perjalanan itu kemudian diteruskan dengan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) KTMB.

Salah seorang penumpang, Hawa Najiha Md Rashid, 23, dari Jitra berkata, dia dan rakan pada mulanya memilih untuk menggunakan khidmat van pelancong yang boleh membawa mereka ke Hatyai namun membatalkan niat itu pada saat akhir kerana ingin merasai pengalaman menaiki kereta api ke Thailand.

"Apabila mendapat tahu tren ke Thailand sudah mula beroperasi, kami segera ke stesen kereta api Padang Besar untuk membeli tiket untuk ke Hatyai. Syukur, tiket masih ada dan ia pengalaman bagi kami yang tidak pernah naik kereta api ke Thailand," katanya ketika ditemui di Stesen KTMB Padang Besar, hari ini.

Stefania Nicoli, 39, dari Milan, Itali, pula berkata, pengalaman menaiki perkhidmatan tren dari Hatyai ke Padang Besar sesuatu yang unik baginya dan suami, Emanuele Giovanni Ripamonti, 41.

"Kami sudah tiga bulan berada di Thailand dan menjelajah ke pelbagai pelusuk dari Bangkok hingga ke kawasan utara Thailand seperti Chiangrai dan Chiangmai dan kali ini kami mencuba untuk menjelajah ke bahagian selatan pula di Hatyai.

"Apabila mengetahui bahawa perkhidmatan tren Hatyai ke Padang Besar ini sudah dimulakan semula, kami mengambil keputusan untuk melancong dan mengembara di Malaysia. Kami bercadang ke Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum ke Kuala Lumpur dengan ETS," katanya.

Pelancong dari Thailand, Pitsanu Sinlapachai, 40, menyifatkan dengan kembalinya perkhidmatan tren itu secara tidak langsung memberi kemudahan kepada pelancong sepertinya untuk ke Malaysia selain daripada menggunakan khidmat penerbangan atau bas.

"Saya pernah ke Kuala Lumpur sebelum ini dan kali ini apabila khidmat tren ini sudah dimulakan semula, saya berserta anak dan isteri mengambil keputusan untuk bercuti hujung minggu ke Pulau Pinang," katanya.

Pelancong dan pengembara domestik dan antarabangsa beratur untuk menaiki perkhidmatan tren dari Stesen KTMB Padang Besar ke Stesen Kereta Api Hatyai Junction di Thailand yang mulai beroperasi semula hari ini. - Foto NSTP/Aizat Sharif
Pelancong dan pengembara domestik dan antarabangsa beratur untuk menaiki perkhidmatan tren dari Stesen KTMB Padang Besar ke Stesen Kereta Api Hatyai Junction di Thailand yang mulai beroperasi semula hari ini. - Foto NSTP/Aizat Sharif
Berita Harian X