Khamis, 14 Julai 2022 | 8:01pm
Kerajaan menambah 11 lagi bahan binaan dalam pelaksanaan VOP bagi membantu kontraktor yang berdepan kenaikan harga barangan binaan selain memastikan projek siap tepat pada masanya. - Foto NSTP
Kerajaan menambah 11 lagi bahan binaan dalam pelaksanaan VOP bagi membantu kontraktor yang berdepan kenaikan harga barangan binaan selain memastikan projek siap tepat pada masanya. - Foto NSTP

11 lagi bahan binaan dalam VOP untuk bantu kontraktor - PM

BERA: Kerajaan menambah 11 lagi bahan binaan dalam pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi membantu kontraktor yang berdepan kenaikan harga barangan binaan selain memastikan projek siap tepat pada masanya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan bahan binaan dalam VOP ialah 15 antaranya simen, batu bata dan dinding, kaca, batu baur, bahan siling serta bahan bumbung.

"Kerajaan maklum dengan kenaikan harga barang binaan yang tidak dapat dielakkan berikutan ketidaktentuan ekonomi global dan konflik geopolitik Russia-Ukraine. Saya difahamkan, harga barang binaan termasuk besi, antara bahan penting dalam pelaksanaan apa juga projek meningkat sehingga 180 peratus.

"Namun, kerajaan sentiasa mendengar dan memahami permasalahan ini dengan mengembalikan semula VOP bagi memastikan projek dapat disiapkan tepat pada masanya," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-38 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang di Kompleks Rakan Muda Bera di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman, Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan serta Yang Dipertua PKMM Pahang Abd Gapar Lambak.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga secara dasarnya bersetuju menambah harga rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membantu kontraktor kecil yang membina rumah itu memperoleh keuntungan.

Beliau berkata, ia berikutan keluh kesah kontraktor yang menyatakan sukar untuk mereka meneruskan projek pembinaan kerana situasi harga bahan binaan menyebabkan mereka tidak memperoleh keuntungan sehingga ada yang menyatakan 'kesediaan' memulangkan semula projek yang diterima.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan sentiasa komited untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan melalui pelaksanaan projek pembangunan dan kemudahan pembiayaan mikro kredit dalam sektor pembinaan.

Kerajaan secara amnya, menerusi Bajet 2022, mengumumkan banyak manfaat kepada industri pembinaan seperti meneruskan pembinaan projek perumahan kumpulan berpendapatan rendah bernilai RM1.5 bilion dan pembinaan jalan luar bandar sepanjang 519 kilometer dengan peruntukan RM1.5 bilion.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga meneruskan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai RM3.5 bilion seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Central Spine Road serta peruntukan RM2.9 bilion bagi meneruskan projek bersaiz kecil dan sederhana untuk kontraktor Gred G1 hingga G4.

Pada majlis itu, Perdana Menteri meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada PKMM Pahang bagi tujuan perbelanjaan pentadbiran mengambil kira kejayaan persatuan itu menjaga kebajikan 1,800 ahlinya selain turut aktif membantu mangsa banjir di negeri itu. - BERNAMA

Berita Harian X