Rabu, 13 Julai 2022 | 4:54pm
Tan Sri Annuar Musa (kiri) dan Isham Jalil.
Tan Sri Annuar Musa (kiri) dan Isham Jalil.

Isham gesa Annuar perjelas perjanjian jawatan TPM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa digesa memberi penjelasan mengenai perjanjian jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang didakwa dimeterai Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Membuat desakan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, perkara berkenaan penting untuk diperjelaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu kerana akar umbi parti dan rakyat ingin tahu.

"Jika surat itu tidak betul, sila perjelaskan atau nafikan supaya ia tidak menjadi polemik di dalam parti. Akar umbi dan rakyat ingin tahu, ini bukan isu yang boleh disorok di bawah karpet," katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas pendedahan dibuat beberapa pemimpin PN dan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Presiden BERSATU itu menjawat jawatan Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang mendakwa perjanjian PN dengan Ismail Sabri mengenai jawatan TPM, wujud.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui beliau membuat draf perjanjian mengenai jawatan TPM dan turut mengesahkan perkara itu wujud sebagaimana dimaklumkan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pembabitannya dalam draf perjanjian itu dilakukan atas kedudukannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada waktu itu dan bukan kapasiti parti.

Takiyuddin juga menjelaskan, ia bukan satu perjanjian, sebaliknya dipanggil memorandum perjanjian (MoA) yang tidak mensyaratkan pelantikan bagi jawatan itu dimestikan memandangkan klausa mengenai TPM tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, pelantikan TPM dari pentadbiran sebelum Ismail Sabri adalah melalui perkara yang dinamakan sebagai konvensyen, iaitu suatu amalan yang tiada dalam perlembagaan, sebaliknya berada pada kehendak Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan perjanjian itu tidak dibincangkan MKT UMNO, biro politik parti itu atau dalam kalangan pemimpin lima jawatan tertinggi atau 'Top Five' UMNO.

Isham berkata, Annuar perlu membuat penjelasan sama ada perkara yang didedahkan itu betul atau tidak kerana pemimpin BERSATU ada menyebut nama Menteri Komunikasi dan Multimedia berkenaan, manakala surat perjanjian yang tular ada tandatangannya.

"Jika betul, saya ingin tanya, dia ada tanya parti dan MKT kah semasa tandatangan perjanjian itu? Sebab perjanjian seperti ini bukan perkara kecil dan ia bukan sahaja membabitkan Ahli Parlimen dalam kerajaan.

"Ia juga memberi kesan besar kepada parti-parti politik dalam kerajaan, lebih-lebih lagi UMNO," katanya.

Berita Harian X