Isnin, 11 Julai 2022 | 3:08pm
Penduduk Kampung Iboi, Norhayati Ismail, 38, membakar ayam di tapak khemah berhampiran rumahnya yang roboh berikutan berlakunya banjir dan kepala air. Foto hiasan BERNAMA
Penduduk Kampung Iboi, Norhayati Ismail, 38, membakar ayam di tapak khemah berhampiran rumahnya yang roboh berikutan berlakunya banjir dan kepala air. Foto hiasan BERNAMA

Bekalan air bukit disambung di Kupang

BALING: Bekalan air bukit untuk penduduk tujuh kampung di Kupang yang terjejas dalam banjir akan disambung semula, tiga hari lagi.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kampung Iboi, Abd Malik Arshad, berkata saluran air terputus, selepas berlaku banjir besar di kampung itu Isnin, minggu lalu.

Beliau berkata, tujuh kampung yang menggunakan bekalan air bukit ialah Kampung Iboi, Masjid Iboi, Bukit Iboi, Bok Bak, Padang Empang, Lata Celak dan Kubang Katak.

Katanya, banyak batang paip terputus atau bengkok akibat arus deras.

"Kita akan selenggara jalan terlebih dahulu dan membersih kayu bagi mengesan paip yang rosak.

"Penyambungan dan menukar batang paip baru dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk supaya bekalan air dapat disambung segera," katanya dalam perjumpaan bersama Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, di Kampung Iboi, hari ini.

Abd Malik berkata, Abdul Azeez menyediakan dana RM12,000 untuk penyambungan paip dan penyelenggaraan.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, peruntukkan segera diberikan kepada penduduk supaya bekalan air bukit yang menjadi kegunaan setiap hari dapat disambung semula.

Penduduk Kampung Iboi menggoreng ikan di khemah sementara berhampiran rumah yang roboh berikutan berlakunya banjir dan kepala air. - Foto hiasan BERNAMA
Penduduk Kampung Iboi menggoreng ikan di khemah sementara berhampiran rumah yang roboh berikutan berlakunya banjir dan kepala air. - Foto hiasan BERNAMA

Berita Harian X