X
Sabtu, 9 Julai 2022 | 6:34pm
Kemalangan membabitkan sebuah lori dan 10 kenderaan lain di Tambak Johor. - Foto ihsan pembaca
Kemalangan membabitkan sebuah lori dan 10 kenderaan lain di Tambak Johor. - Foto ihsan pembaca

Lori rempuh 11 kenderaan bawa muatan lebih had

JOHOR BAHRU: Lori yang merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor, di sini, kelmarin didapati membawa muatan melebihi had ditetapkan ketika kemalangan itu berlaku.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata perkara itu diperoleh pihak polis selepas pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit dibuat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Beliau berkata, selain itu, siasatan berhubung masalah teknikal lain seperti masalah brek sedang dijalankan.

"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian lori yang merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor. Kita melihat daripada pelbagai aspek bagi mencari punca kejadian dan juga pihak yang bertanggungjawab.

"Kita sudah membuat serbuan di pejabat syarikat lori berkenaan untuk melihat rekod penyelenggaraan dan sebagainya," katanya selepas membuat pemantauan penggunaan dron dalam penugasan Op Lancar di Jalan Tebrau, di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (dua dari kanan) melihat penggunaan dron ketika memantau pelaksanaan Op Lancar di Jalan Tebrau, di sini hari ini. - Foto NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (dua dari kanan) melihat penggunaan dron ketika memantau pelaksanaan Op Lancar di Jalan Tebrau, di sini hari ini. - Foto NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN

Kamarul Zaman berkata, siasatan berhubung kes berkenaan masih dijalankan dan pihaknya akan memohon tempoh lanjutan reman apabila tempoh reman terhadap pemandu lori itu tamat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.25 pagi itu, sebanyak 11 kenderaan dirempuh lori dipandu pemandu berusia 34 tahun, yang didakwa hilang kawalan kerana mengalami masalah teknikal pada brek.

Kemalangan itu membabitkan sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta, dengan enam daripadanya adalah kenderaan tempatan, manakala enam yang lain bernombor pendaftaran negara asing.

Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa mahupun kecederaan, sebaliknya hanya kerosakan pada kenderaan yang terbabit.

Berita Harian X