Sabtu, 9 Julai 2022 | 4:19pm
Tinjauan aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan PLUS, Rawang. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Tinjauan aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan PLUS, Rawang. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Lebuh raya PLUS dijangka terus sesak

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1.93 juta kenderaan direkodkan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan dalam tempoh 30 jam bermula semalam hingga jam 6 pagi tadi berikutan orang ramai pulang ke kampung sempena cuti perayaan Aidiladha, esok.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata peningkatan jumlah kenderaan itu sudah dijangkakan berbanding 1.6 juta kenderaan untuk tempoh sama pada hari biasa.

"Jumlah kenderaan yang banyak menyebabkan berlaku kesesakan di beberapa lokasi arah ke utara dan selatan, terutama di kawasan mendaki antaranya dari Kuala Kangsar Ke Changkat Jering di kawasan mendaki berhampiran Terowong Menora.

"Aliran trafik juga perlahan dari Tapah ke Gopeng di kawasan mendaki di Gua Tempurung, manakala arah ke selatan pula, kesesakan biasa dilaporkan di kawasan mendaki dari Pedas ke Linggi," katanya kepada BH, hari ini.

Setakat tengah hari tadi, kenderaan bergerak perlahan arah utara dari Bukit Tagar ke Tanjung Malim, Tanjung Malim ke Behrang, Slim River ke Sungkai, Bidor ke Tapah, Tapah ke Gopeng dan Ipoh Selatan ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak serta Plaza Tol Sungai Dua.

Mohd Yusuf berkata, seperti dijangka, trend aliran trafik tinggi bermula petang semalam selepas waktu bekerja dan berterusan hingga tengah malam tadi sebelum aliran trafik menyusut sekitar jam 4.30 pagi tadi.

"Bagaimanapun, bermula kira-kira jam 8 pagi tadi, aliran trafik ke utara dan selatan mula meningkat semula dan trend ini dijangka berterusan sehingga lewat petang ini dan pada jam 9 pagi, aliran trafik kembali tinggi.

"Walaupun keadaan aliran trafik tinggi, keadaan masih terkawal dan tiada kemalangan serius dilaporkan berlaku setakat ini.

"Namun terdapat beberapa kerosakan kenderaan termasuk bas dan lori yang turut menyumbang berlaku kesesakan trafik," katanya.

Dalam pada itu, katanya pihak PLUS turut melakukan beberapa persediaan untuk berdepan situasi tidak dijangka itu dengan menugaskan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk membantu menyuraikan kesesakan kenderaan di R&R terpilih.

"Pihak PLUS turut bersedia dengan pasukan Recovery Vehicle Operator (RVO) untuk insiden luar jangka seperti kemalangan serius dengan mempersiapkan petugas bersama kren dan kembalik (trak penunda) di 12 lokasi dan plaza tol sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.

"Antaranya di Terowong Menora, Plaza Tol Slim River, Plaza Tol Tapah, Plaza Tol Gopeng, Plaza Tol Rawang dan Rawang Selatan, Plaza Tol Sungai Buloh, Plaza Tol Putra Mahkota, Plaza Tol Simpang Ampat, Plaza Tol Jasin, Plaza Tol Sedenak dan Plaza Tol Senai Utara," katanya.

Mohd Yusuf berkata, pengguna lebuh raya PLUS terus dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan aplikasi Waze atau Google Map untuk mengelak kesesakan, selain memastikan kenderaan diselenggara sebelum pulang serta jumlah baki Touch 'n Go atau e-dompet mencukupi.

Berita Harian X