Sabtu, 9 Julai 2022 | 10:59am
Kesan akibat kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi, Baling, Kedah pada Isnin lalu. - Foto NSTP/Danial Saad
Kesan akibat kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi, Baling, Kedah pada Isnin lalu. - Foto NSTP/Danial Saad

Agong zahir penghargaan tindakan segera bantu mangsa banjir di Baling

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan, petugas keselamatan, syarikat swasta dan individu yang mengambil tindakan segera membantu mangsa banjir di Baling, Kedah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di daerah Baling pada Isnin lalu yang meragut tiga nyawa, manakala lebih 1,400 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

"Seri Paduka menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga tiga mangsa terbabit dan berharap bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

"Seri Paduka turut menzahirkan harapan penduduk yang terjejas khususnya mereka yang kehilangan kediaman tabah dan sabar menghadapi dugaan yang berat ini. Seri Paduka menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga," menurut Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Bencana banjir dan kepala air yang berlaku kira-kira jam 4 petang Isnin lalu itu menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling membabitkan Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

Tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun, termasuk seorang wanita hamil, ditemukan maut selepas dihanyutkan arus banjir di Kampung Iboi.

Sebagai solidariti atas musibah yang berlaku, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengambil maklum masjid-masjid di seluruh negeri Pahang melaksanakan kutipan pada solat Jumaat semalam untuk disumbangkan kepada mangsa banjir yang terjejas.

Al-Sultan Abdullah menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana itu.

"Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan Malaysia sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah," kata Ahmad Fadil. - BERNAMA

Berita Harian X