Jumaat, 8 Julai 2022 | 3:20pm
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bercakap kepada media selepas selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini. NSTP/BAHAROM BAKAR
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bercakap kepada media selepas selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini. NSTP/BAHAROM BAKAR

Tidak perlu adakan perhimpunan desak kerajaan kembalikan subsidi - Hadi

MARANG: PAS menyarankan pimpinan beberapa parti politik menghentikan penganjuran perhimpunan mendesak kerajaan mengembalikan subsidi barangan makanan di tengah jalan atau di kawasan awam.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata kerajaan sudah melaksanakan pemberian subsidi bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat membabitkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah kira-kira RM77.3 bilion.

Katanya, pemberian subsidi bertujuan meringankan beban rakyat tidak pernah dilaksanakan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob terus melaksanakan pemberian subsidi bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Kerajaan juga sudah melakukan penambahbaikkan pemberian subsidi dan bukannya dihadkan kepada golongan tertentu termasuk berdasarkan fahaman politik.

"Pemberian subsidi oleh kerajaan dinikmati seluruh rakyat dan bukannya diberikan mengikuti penyokong dan fahaman politik," katanya kepada media selepas selesai menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor mengadakan 'flash mob' kenaikkan harga barang dan subsidi di beberapa lokasi di negeri itu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat apabila meneruskan pemberian subsidi.

"Pimpinan parti politik disaran tidak perlu menganjurkan himpunan bantahan mendesak kerajaan mengembalikan subsidi, kerana sudah dilakukan kerajaan.

"Kita dimaklumkan kerajaan sudah menanggung subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion, RM200 juta untuk subsidi ayam; petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG)(RM37.3 bilion) dan elektrik berjumlah RM5.8 bilion," katanya.

Berita Harian X