Jumaat, 8 Julai 2022 | 3:17pm

Kemungkinan gelombang keempat susulan subvarian Omicron BA.5

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan rakyat Malaysia mengenai kemungkinan gelombang keempat COVID-19 melanda negara tidak lama lagi.

Ini susulan pengesanan kehadiran subvarian Omicron BA.5 di Malaysia dan kes harian dijangka bertambah.

Semalam kes jangkitan baharu COVID-19 melepasi angka 4,000 apabila sebanyak 4,020 kes direkodkan setakat tengah malam tadi.

Sehubungan itu, Khairy meminta orang ramai yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak untuk segera berbuat demikian terutama mereka yang berisiko tinggi susulan peningkatan kes ketika ini.

Hingga semalam, 31.4 peratus iaitu kira-kira 7.4 juta daripada lebih 23.5 juta individu yang layak menerima dos penggalak pertama itu masih belum berbuat demikian.

"Dos penggalak tidak wajib tapi sangat disarankan terutama apabila berdepan dengan gelombang baharu dan kita akan melihat pergerakan manusia yang akan meningkat sempena cuti sambutan Aidiladha.

"Saya rayu terutama warga emas dan mereka yang mempunyai komorbid supaya segera mendapatkan dos penggalak. Ini penting kerana kita berdepan gelombang baharu yang datang daripada Omicron BA.5 dan kita akan berdepan gelombang baharu dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Khairy berkata, bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, petugas barisan hadapan atau individu dengan komorbid yang sudah mendapatkan dos penggalak pertama, mereka juga disarankan untuk mendapatkan dos penggalak kedua selepas enam bulan menerima dos penggalak pertama.

Bagi kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun yang berada dalam kategori "immunocompromised", mereka dinasihatkan untuk mendapatkan dos tambahan bagi melengkapkan vaksinasi primer tiga dos selepas menjalani penilaian pakar perubatan.

Selain itu, Khairy juga meminta golongan berisiko tinggi dengan penyakit kronik yang mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk supaya hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan bagi penilaian sama ada mereka layak diberikan ubat antiviral Paxlovid atau perlu dimasukkan ke fasiliti kesihatan.

Ubat Paxlovid diberikan kepada kumpulan pesakit COVID-19 berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana.

Kriteria pesakit yang layak adalah berusia 18 tahun ke atas, mengalami jangkitan COVID-19 kategori dua dan tiga serta tidak memerlukan terapi oksigen.

"Ubat Paxlovid mula digunakan dalam rawatan pesakit COVID-19 di fasiliti KKM pada 15 April lalu dan diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta pada 20 Jun.

"Hingga 3 Julai lalu, seramai 4,001 pesakit diberikan ubat Paxlovid dan tiada yang mengalami kesan sampingan serius.

"Justeru, sekali lagi saya ingatkan, jangan takut untuk ke CAC kerana kelewatan untuk mendapatkan rawatan boleh mendatangkan kesan jangkitan yang lebih teruk," katanya.

Senarai CAC di Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan yang menawarkan ubat Paxlovid akan dikemaskini dalam laman web https://covid-19.moh.gov.my/ dari semasa ke semasa.

"Pesakit juga boleh mendapatkan rawatan dan bekalan ubat Paxlovid di 97 fasiliti swasta termasuk hospital dan klinik.

"Pemberian ubat Paxlovid di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma, namun masih tertakluk kepada caj perkhidmatan rundingan dan lain-lain caj berkaitan yang ditentukan fasiliti kesihatan swasta berkenaan," katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan rakyat Malaysia mengenai kemungkinan gelombang keempat COVID-19 melanda negara tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan rakyat Malaysia mengenai kemungkinan gelombang keempat COVID-19 melanda negara tidak lama lagi.
Berita Harian X