Rabu, 6 Julai 2022 | 1:56pm
Keadaan jambatan yang runtuh di Kampung Iboi selepas dilanda banjir lumpur semalam. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Keadaan jambatan yang runtuh di Kampung Iboi selepas dilanda banjir lumpur semalam. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Pembinaan semula jambatan terputus di Kampung Iboi disegerakan

BALING: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) ke Kampung Iboi, Kupang untuk melakukan tinjauan bagi pembinaan segera jambatan konkrit di kampung itu yang terputus akibat kepala air, Isnin lalu.

Hishammuddin melalui laman Twitternya hari ini berkata, Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Mahdzir Khalid menghubunginya semalam dan memohon bantuan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pembinaan jambatan itu secepat mungkin.

"Anggota RAJD sudah turun ke lokasi pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Mahdzir Khalid dalam kenyataannya semalam berkata, pembinaan jambatan itu penting bagi memudahkan penduduk melakukan aktiviti harian termasuk berulang alik ke sekolah dan masjid.

Katanya, sekolah dan masjid hanya di seberang sana dan dekat dengan rumah penduduk, sebab itu kita perlu bina jambatan sementara di sungai kampung ini.

Menurutnya, pembinaan jambatan sementara itu perlu dilakukan dahulu kerana jika hendak menunggu pembinaan semula buat jambatan konkrit memerlukan masa yang lama.

Dalam kejadian kepala air yang melanda daerah ini Isnin lalu menyebabkan 12 kampung terjejas dan ditenggelami air.

Kejadian itu turut menyebabkan jambatan konkrit di Kampung Iboi terputus sehingga menyukarkan penduduk untuk melalui kawasan itu.

Antara kampung terbabit adalah Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

Berita Harian X