X
Selasa, 5 Julai 2022 | 5:36pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Guru diperintah bela diri, tuduhan paksa murid buat oral seks

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini, memerintahkan seorang guru membela diri atas pertuduhan memaksa tiga murid perempuan melakukan seks oral terhadapnya hampir enam tahun lalu.

Panel tiga hakim membabitkan Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Ghazali Cha membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah rendah yang melepas dan membebaskan Mohd Noor Zaini Zulkifli daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusan itu, Hanipah yang mengetuai panel berkenaan berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Noor Zaini, 48.

Beliau memerintahkan Mohd Noor Zaini membela diri dan menghantar semula kes itu ke Mahkamah Sesyen Ampang.

Hanipah juga menetapkan 19 Julai untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

Mohd Noor Zaini yang kini digantung tugas, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri.

Pihak pendakwaan merayu di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak menyebabkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mohd Noor Zaini didakwa atas tiga pertuduhan memaksa tiga murid perempuan yang ketika itu berumur sembilan tahun melakukan seks oral di bilik muzik di sebuah sekolah rendah di Ampang pada jam 3.35 petang, 19 Oktober 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim mewakili pihak pendakwaan, manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Mohd Noor Zaini. – BERNAMA

Berita Harian X