Isnin, 4 Julai 2022 | 4:13pm
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat

'Kerja 4 hari seminggu tak sesuai di Malaysia'

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan waktu bekerja empat hari seminggu sebagai tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia buat masa ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata CUEPACS berpandangan kerajaan hanya merugikan sumber dan membuang masa saja sekiranya berhasrat membuat kajian kebolehlaksanaan berkenaan perkara itu.

Katanya, kerajaan pada hakikatnya perlu lebih fokus kepada isu pekerjaan yang lebih penting dan yang sudah diumumkan tetapi masih pada peringkat kajian atau tidak dilaksanakan lagi walaupun sudah dikuatkuasakan.

"Sumber dan masa yang perlu digunakan oleh kerajaan untuk mengkaji kebolehlaksanaan empat hari bekerja seminggu itu sepatutnya digunakan untuk 'merawat' situasi semasa yang membelenggu penjawat awam yang terkesan dengan isu gaji rendah serta hal kebajikan lain.

"Tumpuan seharusnya diberikan kepada perkara yang memberi manfaat kepada warga pekerja berbanding mengkaji perkara yang tidak sepatutnya dilaksanakan buat masa ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilaporkan menubuhkan pasukan mengkaji sistem bekerja empat hari seminggu di negara ini.

Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, dilaporkan berkata kajian itu antara lain akan melihat bidang mana dalam perkhidmatan awam yang bersesuaian untuk pelaksanaan tempoh masa kerja berkenaan dan jumlah waktu bekerja dalam sehari.

Kajian itu akan turut melihat aspek pulangan pelaburan, sama ada tempoh waktu bekerja itu relevan untuk dilaksanakan atau tidak.

Sementara itu, Adnan berkata, mengambil contoh dalam perkhidmatan awam, banyak perkara yang sudah diumumkan kerajaan untuk penjawat awam tetapi pelaksanaannya masih tidak dibuat.

Katanya, antara perkara itu ialah pelaksanaan gaji minimum melalui sistem saraan baharu, penebusan awal gantian cuti rehat dan kenaikan pangkat secara 'time based' yang dipendekkan sebelum ini.

"Dengan kos sara hidup semakin meningkat, sudah tentu perkara berkaitan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan kebajikan warga penjawat awam perlu diberikan keutamaan," katanya.

Pada masa sama, Adnan meminta semua warga perkhidmatan awam mengekalkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing dan tidak hilang fokus dalam menghadapi isu pelaksanaan empat hari bekerja seminggu ini.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah penyampaian perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

"CUEPACS juga berharap pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan awam juga dapat menjaga keharmonian dalam kalangan kakitangan dengan mematuhi peraturan ketika perkhidmatan.

"Sebarang keputusan berkaitan sumber manusia harus dibuat berdasarkan peraturan sedia ada bagi mengelak kerugian modal insan," katanya.

Berita Harian X