Isnin, 4 Julai 2022 | 3:29pm
 Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin
Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin

'Adakan sidang Parlimen khas bincang isu harga barang, kos sara hidup'

KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan kerajaan mengadakan sidang Parlimen khas bagi membincangkan isu harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat kini.

Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin, berkata Parlimen khas itu adalah satu daripada tiga cadangan daripada PAS dalam menangani isu berkenaan.

"Selain itu, kerajaan juga boleh melaksanakan bantuan bulanan menggunakan kredit bersasar melalui kad pengenalan atau e-dompet

"Perbincangan juga perlu dilakukan bersama ketua parti politik kerajaan dan pembangkang bagi tujuan menangani isu ini," katanya melalui Twitter PAS Pusat.

Sebelum ini, kerajaan mengunjurkan perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang setakat ini berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022.

Ia adalah jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Subsidi kepenggunaan berkenaan membabitkan petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Berita Harian X