X
Jumaat, 1 Julai 2022 | 5:11pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media selepas majlis penyampaian sijil pelantikan kepada Ahli Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN) hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media selepas majlis penyampaian sijil pelantikan kepada Ahli Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN) hari ini. - Foto BERNAMA

45,879 pelancong domestik nikmati potongan tiket kapal terbang

BANGI: Sejumlah 45,879 pengguna pengangkutan udara berpeluang mendapat potongan harga tiket kapal terbang antara RM25 hingga RM100 bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

Tawaran itu menerusi inisiatif Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE 2.0) bagi Kluster Pengangkutan Udara yang dilancarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata inisiatif itu khusus bagi rakyat Malaysia yang membeli tiket penerbangan domestik membabitkan lima syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MASwings.

Malaysia Airlines menawarkan e-baucar bernilai RM100 kepada 10,000 pengguna, manakala Firefly dan Batik Air masing-masing menawarkan RM50 kepada 4,000 penumpang, dan MASwings menyediakan e-baucar RM25 untuk 4,000 penumpang untuk sekali penebusan.

AirAsia pula menawarkan penebusan maksimum tiga kali bagi e-baucar bernilai RM50 untuk penerbangan sehala atau dua hala yang disasarkan untuk 23,879 penumpang.

Menurut Nancy, semua tawaran e-baucar itu membabitkan peruntukan berjumlah RM2.7 juta, bertujuan merangsang kembali pemulihan industri pelancongan, sekali gus menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan.

"Tawaran e-baucar ini boleh ditebus semasa pembelian tiket penerbangan secara dalam talian.

"Ia dikhususkan untuk warga Malaysia yang mahu melancong di dalam negara kerana kita mahu menggalakkan mereka berbelanja di dalam negara, sekali gus merangsang ekonomi domestik.

"Inisiatif ini juga dijangka menjadi penanda aras untuk kerajaan mengenal pasti kaedah terbaik membantu pemain industri pelancongan dan juga rakyat," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran PRE 2.0 - Kluster Pengangkutan Udara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Ramlan Ibrahim dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab.

Program itu adalah kesinambungan pelancaran tawaran bagi Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan pada 17 Mei lalu, disusuli Kluster Pelancongan Minat Khas yang membabitkan taman tema, selam skuba dan inap desa pada 24 Jun.

Mengulas perkembangan tawaran bagi tiga kluster berkenaan, Nancy memaklumkan sejumlah 11 inisiatif sedang berjalan di bawah PRE 2.0 setakat kelmarin.

"Inisiatif ini telah memberi manfaat kepada 28,007 rakyat Malaysia melalui 15,467 pembelian tiket pengangkutan darat (Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL)), serta 12,540 pembelian pakej pelancongan domestik," katanya.

Berita Harian X