Jumaat, 1 Julai 2022 | 12:50pm
 Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Harga siling runcit baharu ayam, telur ayam dikekalkan dua bulan

KUALA LUMPUR: Harga siling runcit baharu ayam standard RM9.40 sekilogram serta harga telur ayam bagi Semenanjung yang berkuat kuasa mulai hari ini akan dikekalkan untuk tempoh dua bulan.

Harga siling runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen sebiji, manakala gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) seperti diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Rabu lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan berkata, penetapan harga siling runcit baharu itu adalah manifestasi keprihatinan kerajaan untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat di semua peringkat.

"Langkah itu bagi mengekalkan tahap nutrisi dan kesihatan Keluarga Malaysia untuk mendapatkan sumber protein yang diperlukan.

"Sehubungan itu, harga siling runcit ayam dan telur ayam bagi Langkawi adalah RM10.90 sekilogram; Sabah (RM11 hingga RM11.30), Sarawak (RM9.80 hingga RM12.90)dan Labuan (RM11.30) berkuat kuasa untuk tempoh sama iaitu dua bulan.

"Dengan pelaksanaan harga siling baharu ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi pukal untuk ayam dan telur adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu," kata menurut kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan keputusan Jemaah Menteri menetapkan harga siling dan subsidi pukal bagi ayam dan telur dibuat dengan teliti demi kebaikan dan kesejahteraan semua peringkat termasuk penternak, pembekal, peruncit dan pengguna terutama golongan B40 dan M40 dalam menghadapi masa sukar peningkatan kadar inflasi seluruh dunia yang turut melanda negara ini.

Dalam pada itu, katanya KPDNHEP akan meneruskan tradisi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dengan menggerakkan 2,200 pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi memastikan bekalan mencukupi yang mana penternak, pemborong dan peruncit mematuhi harga siling baharu yang telah ditetapkan di semua peringkat rantaian.

Selain itu, Ops Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak (Ops ATM) Fasa 2 akan diteruskan bagi memastikan bekalan ayam, telur dan minyak masak sentiasa mencukupi dan stabil di pasaran.

"KPDNHEP juga akan melakukan Ops Samar dengan pegawai penguat kuasa akan melaksanakan operasi tanpa memakai pakaian seragam dan kenderaan KPDNHEP serta melakukan ujian pembelian bagi memastikan peniaga patuh kepada patuh kepada undang-undang terutama bekalan, harga dan tanda harga.

"KPDNHEP yakin tahap pematuhan di peringkat peniaga terutama peruncit akan kekal tinggi seperti pada penetapan harga siling dan harga maksimum sebelum ini," katanya.

Sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 80,179 pemeriksaan dijalankan di premis menjual ayam dan telur yang mana pematuhan melebihi 99 peratus dengan hanya 121 kes dihasilkan.

Dari sudut Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Barang (AKB) 1961 pula, sebanyak 846,686 premis diperiksa sepanjang tahun ini dengan pematuhan melebihi 99 peratus di mana 3,832 kes bersabit dengan AKHAP 2022 dan 615 kes bersabit AKB 1961.

Bagaimanapun, KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati tidak beretika atau sengaja melanggar undang-undang atau yang mencatut atau berkomplot secara kartel sejajar dengan punca kuasa yang diberikan kepada KPDNHEP melalui AKHAP 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Persaingan 2010.

Dalam pada itu, KPDNHEP akan terus bersama kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup rakyat secara holistik dan tuntas meliputi semua barangan kawalan dan subsidi termasuk minyak masak, petrol, diesel, LPG, tepung dan gula di samping mengekalkan daya saing negara dalam pengeluaran barangan keperluan yang meliputi upah gaji rakyat, harga input yang diimport dan nilai ringgit berbanding mata wang asing dunia.

"Seluruh Keluarga Malaysia harus sama-sama memahami dan berperanan pada masa sukar yang diharap tidak akan berterusan lama.

"Di samping memastikan peniaga beretika tidak mencatut dan tidak mengganggu pasaran melalui kartel, pengguna juga diharap dapat membantu dengan membuat sedikit perubahan sementara dalam gaya hidup di samping menjadi mata dan telinga dalam mewujudkan ekosistem perniagaan yang sihat," katanya.

Pengguna yang menyaksikan salah laku peniaga diminta menyalurkan aduan lengkap kepada KPDNHEP di talian Whatsapp 019-8488000, aplikasi ez-Adu atau email kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my.

Berita Harian X