Khamis, 30 Jun 2022 | 5:19pm

Jadikan konsep Tasamuh amalan Keluarga Malaysia - PM

PETALING JAYA: Kerajaan menekankan konsep Tasamuh (toleransi) atau berlapang dada, supaya menjadi sebahagian amalan kehidupan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan agama, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ia selaras ajaran Islam yang sentiasa menyeru kepada kebaikan, solidariti dan mahabbah (kasih sayang sesama manusia).

"Ini kerana konsep Tasamuh turut mengutamakan nilai kebersamaan, selaras konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

"Tasamuh mampu menjadi alat untuk menyatupadukan warga Islam dan dunia. Seharusnya konsep ini diterapkan dalam kalangan negara yang mempunyai bangsa dan budaya majmuk, serta diperluaskan hingga ke peringkat dunia," katanya ketika berucap pada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Syeikh Dr Muhammad Abdul Karim Al-Issa.

Persidangan itu disertai 44 penceramah dari 17 negara, dengan antara lain berusaha mencari kesedaran dan cara pendidikan untuk menghadapi ideologi ekstremis, serta menggantikan perbezaan antara masyarakat pelbagai politik kepada kerjasama dan perpaduan, merangka program praktikal, inisiatif serta cadangan bagi memastikan kemampanan dan keberkesanan mesej persidangan.

Seterusnya, Ismail Sabri berkata, umat Islam juga diingatkan supaya kembali kepada tuntutan agama apabila berlaku perselisihan faham, agar perbezaan pendapat dapat diselesaikan secara berhemah dan beretika.

"Persidangan ini diadakan ketika umat Islam masih berdepan pelbagai cabaran, termasuk pertikaian sesama sendiri, provokasi pihak tertentu dan Islamophobia atau pandangan prejudis terhadap Islam.

"Saya berpendapat, penyelesaiannya perlu dicari dan ini memerlukan komitmen serta kerjasama semua pihak supaya kesucian agama Islam dan solidariti ummah dapat dipertahankan.

"Sebenarnya bibit-bibit perpecahan boleh ditangani sekiranya kita kembali kepada ajaran paling asas, iaitu berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah," katanya.

Beliau berkata, baru-baru ini, dunia Islam digemparkan dengan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di India melalui tindakan bersifat provokasi sehingga menggugat keharmonian masyarakat berlainan agama di negara berkenaan.

"Insiden berkenaan mendapat bantahan bukan saja daripada umat Islam di India, tetapi juga masyarakat antarabangsa termasuklah Malaysia.

"Tindakan menghina Rasulullah SAW merupakan perkara amat sensitif dan menjadi kewajipan seluruh masyarakat Islam untuk bertindak balas, namun ia perlu dilakukan mengikut kerangka tuntutan agama.

"Ini bagi mengelakkan kita terperangkap dengan mainan pihak tertentu yang ingin mencetuskan permusuhan antara penganut pelbagai agama," katanya.

Ismail berkata, begitu juga kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang ditindas secara berterusan serta dibunuh dengan kejam tanpa sebarang usaha untuk menghalang dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Ketika lawatan saya ke Amerika Syarikat (AS) tempoh hari, saya telah membangkitkan supaya isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan dengan segera," katanya.

Perdana Menteri berkata, perpaduan dan kesatuan ummah perlu menjadi keutamaan umat Islam, sebagaimana prinsip Fiqh Keutamaan (fiqh awlawiyyat) berikutan meningkatnya ancaman terhadap kesucian Islam kebelakangan ini.

"Pengukuhan perpaduan dan kesatuan ummah hendaklah berasaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi memastikan dakwah dan penyampaian ajaran bertepatan dengan kehendak Islam, bersifat wasatiyah dan memberi rahmat kepada sekalian alam.

"Umat Islam perlu disedarkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi. Tumpuan utama adalah kemaslahatan ummah serta menolak fahaman pelampau dan ekstrem.

"Justeru, semua ulama dan ilmuwan Islam perlu berbincang, bermuafakat, bersatu dan menggembleng pemikiran masing-masing bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi umat Islam seluruh dunia," katanya.

Ismail Sabri pada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ismail Sabri pada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X