Rabu, 29 Jun 2022 | 10:13pm
Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin
Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin

MTEM gusar DNB tidak telus laksana projek 5G Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkongsi kegusaran Pemuda UMNO berhubung pelaksanaan projek Rangkaian Mudah Alih Generasi ke-5 (5G) Kebangsaan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) yang diragui ketelusannya.

Pengerusinya, Abdul Halim Husin, berkata sekiranya perkara diutarakan Pemuda UMNO itu berasas, tindakan DNB itu dilihat sebagai memperlekehkan agenda Bumiputera yang dijamin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pihak MTEM juga menerima makluman bahawa DNB tidak mengambil endah lansung mengenai kerisauan beberapa pihak berkaitan isu itu.

"Malah, dikhabarkan DNB dalam proses akhir menawarkan kontrak lebih 250 'In-building System (IBS) Site' kepada kontraktor bukan Bumiputera secara 'turnkey' dengan jumlah nilai kontrak yang cukup besar.

"Ramai lagi kontraktrok Bumiputera yang berwibawa dan berpengalaman untuk menjalankan kerja-kerja seperti ini, dipinggirkan. Ini bukti baharu bahawa ada yang tidak kena dengan DNB dalam format dan gerak kerja yang sedia ada.

"Ini sekali gus mengesahkan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (Datuk Zahidi Zainul Abidin) dan Pemuda UMNO tempoh hari yang mencadangkan siasatan terhadap DNB," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri diminta membuat intervensi di peringkat Kabinet dengan mengarahkan DNB menangguhkan pemberian kontrak yang tidak telus itu selaras dengan ketidakpuashatian yang digambarkan Pemuda UMNO.

"Kerajaan yang dikuasai parti-parti Melayu, Islam dan Bumiputera tidak boleh mengambil sikap sambil lewa mengenai ini, agar objektif DNB tidak menjadi keadaan yang 'dikendong tercicir dan yang dikejar pula tak dapat'.

"Justeru, MTEM menyarankan agar kerajaan termasuk agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk campur tangan," katanya.

MTEM juga katanya, mahu mengingatkan bahawa tanggungjawab DNB dalam menyokong pembangunan ekonomi Bumiputera termasuk pembangunan program vendor dengan bersungguh-sungguh.

"Ia tidak boleh dilakukan secara melepaskan batuk di tangga mengambil kesempatan keadaan politik dan ekonomi yang caca merba hari ini," katanya.

Pada 21 Jun lalu, Pemuda UMNO menyerahkan satu memorandum kepada Zahidi agar isu itu dibawa ke Parlimen selain menggesa SPRM membuat siasatan menyeluruh terhadap DNB dalam memastikan Projek 5G diurus tadbir secara telus dan wujud transperansi.

Pada sidang media, Exconya, Fairuz Jamaluddin turut membangkitkan beberapa keraguan dalam perkhidmatan 5G kendalian DNB yang disifatkan tidak telus kepada rakyat.

Beliau dipetik berkata, kos rangkaian 5G yang bermula RM11 bilion kini boleh meningkat kepada RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun pembangunannya berdasarkan harga jualan DNB.

Beliau menzahirkan kebimbangan sekiranya perkara itu tidak dikekang, kos perkhidmatan 5G yang dikendali beberapa syarikat telco mungkin bakal ditanggung rakyat pada harga yang tinggi.

Berita Harian X