Rabu, 29 Jun 2022 | 10:06pm
Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (kiri) dan Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin.
Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (kiri) dan Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin.

Tajuddin tak layak jadi duta ke Indonesia

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan hal ehwal dalaman parti, menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah.

EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menganggap tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak bijak dan hanya memalukan dirinya sendiri, sekali gus membuktikan pemecatannya daripada MKT sebagai langkah tepat.

Selain itu, katanya, Tajuddin juga cenderung mengeluarkan kenyataan yang bakal menjejaskan imej negara, sekali gus tidak layak untuk dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

"Ramai pemimpin atau bekas pegawai tinggi kerajaan yang lebih layak dan boleh dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, apatah lagi tidak baik untuk imej negara jika kerajaan menghantar seorang duta yang terpalit dengan pelbagai kontroversi di negara sendiri.

"Jangan hanya kerana ingin menjaga hati kawan-kawan, nama parti dan imej negara terpalit sekali lagi dengan kenyataan yang tidak matang dan memalukan.

"Pada masa sama, apabila dibuka segala minit mesyuarat hanya kerana dilucutkan jawatan, itu hakikat menunjukkan beliau adalah pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Tajuddin dalam satu sidang media mendedahkan wujudnya akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, dan usaha itu didakwa diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, Tajuddin turut mendakwa wujud memorandum untuk meminta Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden UMNO, yang dipersetujui lebih 130 ketua bahagian.

Pada 21 Jun lalu, Tajuddin dipecat dari MKT UMNO beberapa berikutan tindakan Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu yang dikatakan mengkritik parti.

Sementara itu, seorang lagi EXCO Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin, menggesa pemimpin dan ahli UMNO tidak menjadi ejen pemecah belah parti serta `duri dalam daging', menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Nasihat saya pada Tajuddin, gunakanlah masa ini untuk berehat. Nasihat juga buat diri saya dan lain-lain, usahlah kita menjadi `duri dalam daging' bagi keluarga UMNO yang tercinta," katanya.

Shahrul Nasrun berpandangan, ini masa bagi pemimpin lama memberi ruang kepada muka baharu untuk berada dalam barisan pimpinan UMNO, sekali gus memberi idea baharu untuk parti.

Tegasnya, ahli UMNO juga perlu mengambil kira usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hingga membawa kepada pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus membolehkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Ahmad Zahid juga memimpin beberapa siri pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang membawa kepada kemenangan besar buat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Tidak wajar melabelkan Ahmad Zahid sebagai tamak kuasa, sedangkan Presiden UMNO memahami seni politik sehingga berjaya meletakkan semula UMNO di puncak kuasa," katanya.

Berita Harian X