X
Rabu, 29 Jun 2022 | 11:21am
Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. - Foto NSTP
Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. - Foto NSTP

'Tiada krisis seperti dihebohkan' - Ahmad

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini menegaskan tiada krisis berlaku dalam parti itu seperti yang dihebohkan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berperanan menjaga dan mentadbir kerajaan, manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menjaga parti.

Tegasnya lagi, UMNO juga tidak akan berpecah disebabkan isu penyingkiran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

"Tiada krisis spt (seperti) yg (yang) dihebohkan. PM jaga kjaan (kerajaan) & DS @DrZahidHamidi jaga parti. UMNO tidak akan berpecah sbb (sebab) isu DS Tajuddin. Biarlah beliau (Tajuddin) tumpu sbg (sebagai) Duta Besar," tulisnya dalam hantaran di Twitter.

Selain itu, Ahmad berkata, seperti diulangi oleh Ahmad Zahid pada mesyuarat MKT yang berlangsung malam Ahad lalu, Ismail Sabri akan menjadi 'poster boy' dan calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

"Presiden #UMNO ulangi dlm (dalam) Mesyuarat MKT pd (pada) 24/6/22 bahawa calon PM / "poster boy" utk (untuk) #PRU15 adalah DSIS @IsmailSabri60.

Hantaran Ahmad merujuk kepada laporan media mengenai tindakan Tajuddin yang membuat pelbagai dakwaan terhadap Presiden UMNO kelmarin, yang disifatkan pemimpin UMNO hanya mengundang kemelut dalam parti.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam kenyataannya semalam, berkata tindakan Tajuddin itu juga hanya akan menjadi peluru kepada pihak lawan bagi menyerang UMNO.

Tajuddin dalam pendedahannya kelmarin mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang digugurkan jawatan itu Selasa lalu menerusi satu surat mendakwa segala keputusan mesyuarat MKT UMNO selama ini bukan kehendak ahli MKT, sebaliknya adalah kehendak Ahmad Zahid sendiri.

Tajuddin turut mendedahkan Ahmad Zahid mengetuai bagi mendatangani SD dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Berita Harian X