Selasa, 28 Jun 2022 | 10:27pm
Mi segera perisa daging babi cincang yang dipercayai terdapat dalam beg cenderahati dalam program derma darah di Batu Pahat. - Foto pembaca
Mi segera perisa daging babi cincang yang dipercayai terdapat dalam beg cenderahati dalam program derma darah di Batu Pahat. - Foto pembaca

Penganjur mohon maaf beri cenderahati mi perisa daging babi

bhnewsbh.com.my

BATU PAHAT: Penganjur program derma darah memohon maaf kepada orang ramai yang menerima beg cenderahati berisi mi segera berperisa daging babi cincang di pusat beli-belah di sini, kelmarin.

Pengerusi jawatankuasa pengelola program berkenaan, Lou Kok Meng, berkata perkara berkenaan tidak disengajakan dan pihaknya akan bertanggungjawab sepenuhnya mengenai kejadian terbabit.

"Pihak penganjur mengambil maklum mengenai perkara itu dan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

"Wakil daripada kami juga sudah ke Bahagian Pengurusan Pentadbiran Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk memberi penjelasan mengenai kejadian itu," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ketika ini pihaknya hanya mampu memohon maaf kepada orang ramai terutamanya kepada pengunjung yang datang menderma darah dalam program berkenaan dan akan memperbaiki keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata polis menerima laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkara berkenaan, 11.38 pagi semalam.

"Laporan berkenaan mengenai sebahagian daripada penderma darah menerima bungkusan cenderahati mengandungi mi segera dipercayai berperisa daging babi cincang.

Katanya, siasatan awal mendapati, program derma darah anjuran bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan hospital di sini diadakan di sebuah pusat beli-belah di Batu Pahat kelmarin.

Berita Harian X