Selasa, 28 Jun 2022 | 4:11pm
Kerajaan negeri akan mewartakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Kerajaan negeri akan mewartakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri, daerah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021 hingga 2025.

Perdana Menteri berkata, penubuhan jawatan kuasa yang dipersetujui oleh kerajaan negeri itu akan menjadi sinergi bersama Kerajaan Persekutuan bagi tujuan berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri turut bersetuju melaksanakan tujuh inisiatif dalam meningkatkan sekuriti makanan antaranya meningkatkan keluasan tanah yang sesuai, khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian.

"Di bawah inisiatif meningkatkan keluasan tanah, kerajaan negeri akan mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 kanun itu, untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

"Memperkasa pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah terbabit kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun.

"Selain itu, pihak berkuasa negeri boleh, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara," katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang turut dihadiri oleh Menteri Kabinet yang berkaitan.

Mesyuarat itu diadakan bagi memberikan penekanan untuk mengukuhkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memperkasa sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, melalui inisiatif kedua, kerajaan negeri juga akan mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi, selain mewartakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan.

Beliau berkata, di bawah inisiatif keempat, pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada akan dikekalkan selain mewartakan ZIA yang belum diwartakan selain menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan kebenaran merancang pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan.

Beliau berkata, penetapan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan akan turut dilaksanakan.

PBT dikehendak membantu memudahkan penubuhan reban ayam tertutup bagi meningkatkan bekalan makanan. - Foto STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR
PBT dikehendak membantu memudahkan penubuhan reban ayam tertutup bagi meningkatkan bekalan makanan. - Foto STR/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Berita Harian X