Isnin, 27 Jun 2022 | 4:53pm

'Zahid Hamidi wajar lepaskan jawatan secara terhormat'

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang baharu digugurkan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.

Beliau yang digugurkan jawatan itu Selasa lalu menerusi satu surat mendakwa segala keputusan mesyuarat MKT UMNO selama ini bukan kehendak ahli MKT, sebaliknya adalah kehendak Ahmad Zahid sendiri.

Dalam sidang medianya petang tadi, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak turut mendakwa Ahmad Zahid juga tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kerana beliau tidak diberi ruang menggalas jawatan itu.

"Sebenarnya Zahid dah lama dianggap tidak layak memimpin UMNO. Lebih baik undurkan diri cara terhormat demi kepentingan parti.

"Ahmad Zahid sudah menjadi liabiliti kepada UMNO, tak boleh mengepalai UMNO dalam pilihan raya akan datang, kita akan kalah, tanyalah orang awam, orang profesional," katanya.

Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO menerusi surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 21 Jun lalu.

Tajuddin adalah Ahli MKT UMNO yang dilantik oleh Presiden UMNO. Beliau tewas dalam merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada Pemilihan UMNO 2018 lalu, sebelum dilantik ke beberapa jawatan dalam parti, termasuk Pengarah Pilihan Raya UMNO.

Selain Tajuddin, turut dilantik Ahmad Zahid menganggotai ahli MKT termasuk Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Rosni Sohar, Datuk Yaakub Khan serta Datuk Arman Azha Abu Hanifah.

Pada hari sama pengguguran Tajuddin, Ahmad Zahid berkata, sikap dan pendirian Tajuddin yang bercanggah dengan parti antara punca Ahli Parlimen Pasir Salak itu digugurkan.

"Kena tanya beliau (Tajuddin) sendiri, apa kenyataan yang beliau sudah buat. Apakah bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan yang sudah dinyatakan dalam mesyuarat tertutup," kata Ahmad Zahid.

Dalam sidang media itu, Tajuddin yang baru dilantik sebagai Duta Khas Malaysia ke Indonesia turut menyifatkan Ahmad Zahid bukan berjuang untuk kepentingan UMNO, sebaliknya kembalinya menjadi Presiden parti setelah berehat selama enam bulan pada tahun 2019, adalah bertujuan membolehkan beliau kembali berkuasa.

Jelas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, ia dapat dibuktikan menerusi keputusan MKT selama ini yang didakwanya bukan kehendak 52 ahli badan tertinggi parti itu sebaliknya hanya berlandaskan kehendak Ahmad Zahid.

Setakat jam 6 petang tadi, Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin UMNO yang dinamakan Tajuddin belum memberikan sebarang komen.

Selain itu, Tajuddin mendakwa sekumpulan pemimpin kanan dan berpengaruh dalam UMNO dikatakan berkumpul untuk mencari kesepakatan mendesak Ahmad Zahid Hamidi berundur secara baik seawal 2020.

Antara pemimpin yang hadir ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Namun, beliau mendakwa usaha berkenaan gagal selepas Mohamad "membelot" daripada ketetapan yang dipersetujui.

Dakwa Tajuddin, ini selepas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dikatakan "digertak" oleh pegawai kanan Ahmad Zahid.

Menurut Tajuddin pertemuan berkenaan berlangsung di rumahnya pada Mei 2020.

"Ketuanya siapa? Tok Mat (Mohamad) dan Bossku (Najib). Mereka suruh turun buat tinjauan, berapa ramai ketua bahagian yang setuju. Kalau saya tak silap ada 130 bahagian (di seluruh negara) yang setuju. Di Perak, 18 ketua bahagian setuju.

"Tok Mat setuju, Bossku setuju. Kenapa tak jadi? Sebab Tok Mat sebagai ketua dengan Bossku belot sehingga gerakan itu akhirnya terkubur begitu sahaja," katanya yang turut menunjukkan gambar pertemuan di kediamannya.

Tajuddin juga mendakwa wujud akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen parti itu bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut digesa menandatangani SD terbabit sehingga timbul isu jajaran baharu ketika itu dalam satu pertemuan di sebuah hotel di Kampung Baru, di sini.

"Isu jajaran baharu, 'no Anwar, no DAP', saya saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangan hendak sokong Anwar jadi perdana menteri, dan ada surat dihantar pada istana.

"Ya, jajaran baharu UMNO-PH memang Zahid ada usahakan, di sebuah hotel di Kampung Baru (Kuala Lumpur), di situlah ahli-ahli Parlimen tandatangan termasuk Bossku (Najib) dan Nazri Aziz (Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz).," katanya.

Tajuddin mengakui beliau pada mulanya enggan menandatangani SD terbabit namun tindakan itu menyebabkan beliau dan Ahmad Zahid bermasam muka.

"Empat kali Ahmad Zahid pujuk saya dan akhirnya saya turunkan tandatangan. Adalah sampai bermasam muka," katanya.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman menunjukkan gambar mesyuarat MKT UMNO di kediamannya ketika sidang media mengenai pemecatan beliau daripada MKT UMNO, di Eastin Hotel Petaling Jaya. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman menunjukkan gambar mesyuarat MKT UMNO di kediamannya ketika sidang media mengenai pemecatan beliau daripada MKT UMNO, di Eastin Hotel Petaling Jaya. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X