Ahad, 26 Jun 2022 | 9:29pm

Isham Jalil tidak digugurkan daripada jawatan Ketua Penerangan BN Selangor

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata Isham Jalil yang dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam, tidak digugurkan daripada jawatan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor.

"Siapa kata beliau digugurkan, beliau tidak digugurkan. Selepas kita lihat semula, jawatan Ketua Penerangan ini tidak ada dalam perlembagaan BN, dalam perlembagaan UMNO jawatan ini ada.

"Dalam perlembagaan BN Malaysia, jawatan yang ada hanyalah pengarah komunikasi. Sebelum timbul isu yang mengatakan kami melanggar perlembagaan, saya jelaskan apa yang berlaku adalah kesilapan istilah," katanya dalam sidang media Perasmian Kolaborasi Summerfield dan Animasi Didi & Friends.

Noh Omar turut mengucapkan tahniah kepada Isham yang dilantik sebagai ahli MKT UMNO. Dengan penambahan Isham Selangor menjadi negeri yang mempunyai bilangan pemimpin tertinggi yang paling ramai dalam UMNO iaitu sebanyak tujuh orang.

Majlis Perasmian turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Summerfield, Amin Mohd Shukor. Kolaborasi ini adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjadikan susu sebagai makanan yang penting dalam kehidupan.

Amin berkata kolaborasi ini dapat meningkatkan jualan produk yang telah berada di pasaran.

"Isu pembesaran tidak normal akibat daripada pemakanan yang tidak seimbang adalah serius di negara ini. Justeru, promosi secara besar-besaran ini dapat memberikan kesedaran tentang kepentingan pengambilan makanan yang seimbang dan cukup nutrisi.

"Summerfield dan Didi & Friends akan turut serta dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) selari dengan tema MAHA 2022 Sekuriti Makanan Untuk Masa Hadapan," katanya.

Berita Harian X