Sabtu, 25 Jun 2022 | 10:52am
Aedly Fadly (kanan) bersama Henry Sum Agung (tengah) ketika meninjau Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasaan JPJ di Kijal, Kemaman, malam tadi.- FOTO JPJ
Aedly Fadly (kanan) bersama Henry Sum Agung (tengah) ketika meninjau Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasaan JPJ di Kijal, Kemaman, malam tadi.- FOTO JPJ

JPJ kesan 55,000 kes benar kenderaan dipandu individu tak berlesen

CHUKAI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 55,000 kes pemilik kenderaan membenarkan kenderaan mereka dipandu individu tiada lesen di seluruh negara dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Aedly Fadly Ramli, berkata kebanyakan kes dalam tempoh berkenaan membabitkan ibu bapa yang membenarkan anak mereka yang di bawah umur memandu tanpa lesen.

Beliau berkata, dalam tempoh Januari 2009 hingga Mei lalu pula, sebanyak 347,300 kes sedemikian direkodkan.

Katanya, JPJ sangat kesal dengan sikap ambil mudah sesetengah anggota masyarakat yang berterusan mengambil mudah perkara itu tanpa memikirkan risiko serta bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Bila ditahan penguat kuasa, mereka memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah. Analisis dan pemerhatian terkini JPJ mendapati tiada perubahan sikap yang ketara daripada pemilik kenderaan mengenai perkara ini sepanjang empat tahun kebelakangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mengiringi Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum meninjau Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Stesen Penguatkuasaan JPJ di Kijal, Kemaman, yang turut disertai Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, malam tadi.

Aedly Fadly berkata, pemilik kenderaan yang membenarkan individu tiada lesen memandu menggunakan kenderaan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda antara RM300 hingga RM3,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Kenderaan juga boleh disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama.

"Kita meminta orang ramai supaya memandang serius berhubung dengan perkara itu bagi mengelak dikenakan tindakan saman dan sita kenderaan,"katanya.

Mengenai operasi bersepadu malam tadi, beliau berkata, Jabatan Imigresen dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memeriksa 580 kenderaan sebelum 133 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan lesen memandu tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

Berita Harian X