Sabtu, 25 Jun 2022 | 12:38am

Gugur Tajuddin beri ruang khidmat sepenuh masa - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Punca Datuk Seri Tajuddin Rahman digugurkan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi memberi peluang kepada Ahli Parlimen Pasir Salak itu bertugas sepenuh masa sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang menjelaskan perkara itu berkata, atas sebab itu tempat Tajuddin dalam parti digantikan oleh bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Justeru, beliau berkata, adalah menjadi kuasa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melantik beberapa jawatan tertinggi termasuk 13 lantikan ahli MKT.

"Presiden boleh melantik Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan Bendahari serta 13 lantikan ahli MKT.

"Oleh kerana Datuk Seri Tajuddin Rahman dihentikan pelantikannya kerana beri peluang kepada beliau bertugas sepenuh masa sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, maka tempat kosong itu dilantik kepada saudara Isham Jalil," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MKT di Menara Dato Onn di sini, malam ini.

Mengenai hasrat Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN, Ahmad berkata perkara itu perlu diputuskan secara konsensus di peringkat Majlis Tertinggi BN.

Jelasnya, Majlis Tertinggi BN belum lagi memutuskan untuk bermesyuarat bagi membincangkan hasrat PBM menyertai gabungan berkenaan.

"Itu adalah keputusan secara konsensus daripada Majlis Tertinggi BN yang belum lagi bermesyuarat.

"Itu (hasrat PBM sertai BN) kena tanya Setiausaha Agung BN," katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, tengah malam tadi. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn, tengah malam tadi. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Berita Harian X