Jumaat, 24 Jun 2022 | 11:52pm

NSTP menang 3 kategori utama hadiah kewartawanan

KUALA LUMPUR: Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) memenangi tiga kategori utama Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2021 malam ini.

Akhbar Berita Harian mengungguli Kategori Wartawan Muda A Samad Ismail menerusi laporan Ahmad Suhael Ahmad Adnan yang membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil.

Antara laporan Suhael adalah, Lebih 70,000 petugas kesihatan dikesan hadapi gangguan emosi; Petugas kesihatan menangis setiap hari, alami insomnia; Petugas kesihatan mula ambil dadah, pil tidur; Pinjam tenaga kerja swasta bantu kakitangan kesihatan dan 3 faktor pengaruhi gejala Long COVID bekas pesakit.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Mastura Ahmad Mustafa pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2022 di sebuah hotel, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya dan Tokoh Wartawan Negara 2019, Tan Sri Johan Jaafar.

Sementara itu, Harian Metro memenangi dua anugerah emas menerusi Kategori Infografik Terbaik melalui tajuk Permainan Warisan Zaman (Nor Salim Mohamed Dawam dan Nor 'Asyikin Mat Hayin) dan Kategori Laporan Berita Cemerlang melalui wartawannya, Amir Abd Hamid, Muhaamad Hafis Nawawi dan Azrul Affandy Sobry.

Pemenang emas bagi kedua kategori ini membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.

TV3 pula dinobatkan pemenang bersama emas bagi Kategori Dokumentari Video Terbaik menerusi laporan Predator Darat dengan membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil.

Sementara itu, Camil berkata, ekosistem dan landskap media serta kewartawanan mengalami perubahan amat pesat dalam tempoh selama empat dekad.

"Hal ini dipacu kepesatan internet dan kecerdasan buatan, robotik, analisis data raya, internet of thing (IoT), realiti maya Revolusi Industri 4.0 dan wartawan generasi hari ini yang perlu memperkasakan diri dengan kepelbagaian kemahiran baharu, mahir pelbagai tugas dan pantas serta pada masa sama terikat dengan etika kewartawanan.

"Kepantasan menyalurkan berita seiring fakta sahih dan tepat dalam mengekang penyebaran berita palsu serta penggunaan teknologi digital antara cabaran utama perlu didepani kelompok wartawan profesional hari ini," katanya.

Terdahulu, MPI menerima 350 penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2021 dengan 42 pemenang hadiah emas, perak (46), gangsa (26) dan dua pemenang Anugerah Khas.

Buat pertama kali juga, Malam Wartawan Malaysia 2022 memperlihatkan format baharu dengan hadiah kemenangan disampaikan pemenang Kajai terdahulu dan HKM 2021 tiada pemenang Hadiah Kajai diumumkan.

Sementara itu, Ahmad Suhael berkata, siri laporan yang dihasilkan bertujuan mengetengahkan cabaran dan kesan kepada kesihatan mental petugas kesihatan selepas 20 bulan melawan COVID-19 secara berterusan.

"Menerusi laporan mengenai Long COVID, saya mahu melawan naratif teori konspirasi yang mendakwa COVID-19 sebagai 'demam biasa', sekali gus menjadi alasan menolak vaksin COVID-19.

"Saya berharap laporan ini dapat memberi impak secara langsung dalam membantu petugas kesihatan dan masyarakat ketika melawan COVID-19.

"Penghargaan juga diucapkan kepada rakan dan editor yang banyak membantu memberikan idea dalam melengkapkan laporan ini," katanya

Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) memenangi tiga kategori utama Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2021 malam ini. - Foto Aswadi Alias
Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) memenangi tiga kategori utama Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2021 malam ini. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X