Jumaat, 24 Jun 2022 | 11:15pm
Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi
Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi

'Ahli UMNO tak ikut keputusan parti wajar kena tindakan'

KUALA LUMPUR: Ahli UMNO yang tidak mengikut rentak keputusan parti wajar dikenakan tindakan disiplin, termasuk dipecat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kepatuhan kepada keputusan parti adalah perkara lazim yang diamalkan dalam mana-mana organisasi.

Justeru, beliau berkata, sekiranya ada ahli yang mahu mengkritik perlu melalui saluran dan platform yang betul.

"Saya rasa asas yang penting siapa yang tak ikut parti memang wajar dikenakan tindakan, sebab mana-mana organisasi perlukan ahli yang berdisiplin, patuh kepada keputusan parti.

"Jadi, tidak kiralah siapa pun (kena pecat) dan soal ramai lagi juga tidak timbul. Yang penting jika semua patuh kepada parti tiada masalah.

"Saya juga mengkritik Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), tiada masalah pun, tetapi biarlah betul. Mana-mana sudah menjadi keputusan kita patuh.

"Soal mengkritik siapa pun boleh mengkritik. Saya juga mengkritik Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato Onn di sini, malam ini.

Difahamkan, mesyuarat yang bermula jam 8 malam tadi itu membincangkan mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan isu disiplin.

Seorang Ahli Parlimen UMNO yang pernah menyandang jawatan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, hari ini mendakwa terdapat beberapa nama lagi 'dalam senarai menunggu' untuk dipecat selepas 'dicop' sebagai musuh politik.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia menerusi Facebook memberi amaran, tindakan menggugurkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada MKT UMNO akan mengundang kepada krisis dan perpecahan dalam parti.

Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata, tindakan menggugurkan bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu bercanggah dengan semangat dan resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan PAU Khas.

Semalam, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak digugurkan daripada ahli MKT UMNO.

Mengulas mengenai pelantikan bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil sebagai ahli MKT, Puad berkata parti sememangnya memerlukan seseorang yang berakal untuk membantu memimpin organisasi itu.

Katanya, ia juga termasuk memerlukan individu yang boleh diterima baik bukan saja ahli, malah orang awam.

Berita Harian X