Jumaat, 24 Jun 2022 | 10:46pm

Isham Jalil dilantik ahli MKT UMNO

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor yang digugurkan, Isham Jalil, dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.

Dalam satu hantaran di Facebook rasmi ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, memuat naik ucapan tahniah kepada Isham.

Puad turut memuatnaik gambar Isham sedang mengangkat sumpah bagi jawatan berkenaan.

"Tahniah saudara Isham Jalil," katanya ringkas.

Majlis angkat sumpah yang berlangsung malam ini juga diadakan serentak dengan Mesyuarat MKT yang bermula jam 8 malam tadi.

Mesyuarat dihadiri barisan 'Top 5' kepemimpinan UMNO di Menara Dato Onn di sini, masih lagi berlangsung.

Terdahulu, pada sebelah petang tadi berlangsung mesyuarat Biro Politik UMNO dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri - negeri.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui selepas melancarkan Karnival BN Youth Joh Fair di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, petang tadi dilaporkan, berkata

kritikan terbuka dan pandangan bertentangan keputusan MKT UMNO menjadi antara sebab Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, digugurkan sebagai ahli MKT.

Katanya, Tajuddin juga tahu sebab musabab dirinya digugurkan dari jawatan dilantiknya itu.

"Dalam hal ini, saya sangat berlapang dada, jika secara peribadi (keputusan) saya tidak dipersetujui, secara peribadinya. Tetapi apabila keputusan parti tentukan, maka kita harus menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh parti.

"Saya fikir, tanyalah diri beliau sendiri. Tidak adil kalau saya memberi tahu secara umum kenapa, tetapi tentunya beliau tahu apa yang beliau lakukan kepada parti.

"Itu sebabnya (Tajuddin digugurkan). Kena tanya beliau sendiri apa kenyataan yang beliau sudah buat. Apakah bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan yang sudah dinyatakan dalam mesyuarat tertutup. Tanya beliau sendiri," katanya.

Beliau menjelaskan, Tajuddin juga tidak perlu merayu terhadap keputusan penggugurannya itu, kerana lantikan itu dibuat dan terletak di bawah kuasa presiden.

"Rayuan untuk keahlian boleh dibuat tetapi rayuan untuk sesuatu jawatan dilantik, saya fikir tidak ada mana-mana elemen rayuan boleh dilakukan," katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, ahli MKT seharusnya mematuhi ketetapan dan keputusan parti.

Puad memuatnaik gambar Isham sedang mengangkat sumpah sebagai ahli MKT UMNO. - Facebook DrPuad Zarkashi
Puad memuatnaik gambar Isham sedang mengangkat sumpah sebagai ahli MKT UMNO. - Facebook DrPuad Zarkashi
Berita Harian X