Jumaat, 24 Jun 2022 | 3:47pm
Isham Jalil
Isham Jalil

'Isham Jalil dijemput hadiri mesyuarat MKT UMNO'

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor yang digugurkan, Isham Jalil, mengesahkan menerima jemputan dan akan menghadiri mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.

Ini selepas desas desus menyatakan kemungkinan beliau akan dilantik sebagai ahli MKT malam ini.

"Saya sudah dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bahawa saya dijemput untuk menghadiri sesi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di WTC (Menara Dato' Onn) pada malam ini.

"Terima kasih kerana sudi jemput saya untuk menghadiri sesi mesyuarat bagi badan tertinggi parti pada malam ini. Saya akan hadir," katanya menerusi Facebook hari ini.

Biarpun tanpa mengesahkan sebab diperlukan untuk menghadiri mesyuarat MKT UMNO malam ini, beliau menyatakan sedia untuk membantu parti itu.

"Sebagai ahli UMNO dari akar umbi, saya akan bantu parti dengan apa yang termampu untuk kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Isham sebelum ini digugurkan daripada jawatannya sebagai Ketua Penerangan BN Selangor oleh BN Selangor.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kuasa mengikut Perlembagaan UMNO bagi melantik 13 orang Ahli MKT termasuk Setiausaha Agung, Ketua Penerangan serta Bendahari UMNO.

Berita Harian X