Khamis, 23 Jun 2022 | 6:17pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

RUU Pendanaan Politik perlu bersandar 7 prinsip

KUALA LUMPUR: Tujuh prinsip utama perlu ditekankan dalam penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik yang bakal dibentangkan di Parlimen.

Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik, Ahmad Fadhli Shaari, berkata tujuh prinsip itu dapat menjadi tunjang kepada pelaksanaan RUU berkenaan dalam usaha membina sistem politik yang telus dan berintegriti.

Tujuh prinsip berkenaan adalah:

1. Memastikan aspek ketelusan sebagai perkara induk agenda reformasi;

2. Kaedah pendanaan awam untuk parti politik dibenarkan;

3. Penubuhan suruhanjaya bebas dan berkecuali untuk memantau perkara berkaitan pendanaan politik

4. Perkenalkan had pendanaan kepada penyumbang sama ada sumbangan individu atau korporat

5. Larangan organisasi yang mempunyai konflik kepentingan seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mana-mana yayasan terbabit dengan pendaaan parti politik .

6. Pengharaman sebarang bentuk pendanaan politik dari sumber luar negara, dan

7. Pendanaan wajar disalurkan terus kepada parti politik bukannya kepada anggota parti tertentu atau mana-mana individu pimpinan parti.

Fadhli berkata, tujuh prinsip itu dipersetujui bersama, namun ia masih boleh dibahas dan terbuka kepada sebarang penambahbaikan daripada mana-mana pihak berkepentingan.

Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik, Ahmad Fadhli Shaari
Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik, Ahmad Fadhli Shaari

"Kami percaya tujuh prinsip ini boleh dilaksanakan dan menjadi perkembangan yang cukup baik untuk menggubal RUU Pendanaan Politik," katanya dalam ucaptama sempena Persidangan Bersama Pendanaan Politik anjuran Majlis Peguam dan Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di sini, hari ini.

RUU dana politik dapat elak kecurangan urus sumber dana

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, penggubalan RUU Pendanaan Politik penting bagi memastikan tidak berulang sebarang salah laku atau kecurangan dalam hal menguruskan sumber dana demi kepentingan politik.

KRPPM menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob yang mahu membincangkan pendanaan politik ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Ini membuktikan komitmen Kabinet untuk menambah baik perihal integriti di dalam hal yang membabitkan tadbir urus negara," katanya.

Mengulas lanjut, katanya KRPPM percaya banyak aspek boleh diterokai dan diperbahaskan mengenai hal berkaitan pendanaan politik dari sudut kajian, kerjasama rentas parti politik, libat urus dengan penjawat awam, literasi awam dan sokongan sektor korporat dalam menjayakan perkara itu.

"Ini mustahak sebagai langkah proaktif bagi menentang amalan rasuah dan budaya rasuah seterusnya membina suatu bentuk politik yang lebih matang dan profesional," katanya.

RUU dana politik tingkat profesionalisme ahli politik

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Wong Chin Huat berkata, penggubalan Akta Pembiayaan Politik dapat meningkatkan tahap profesionalisme ahli politik terutama ahli Parlimen sebagai penggubal undang-undang di negara ini. Sering kali dana politik dikaitkan dengan isu integriti ahli politik di negara ini.

Justeru beliau berkata, dengan adanya undang-undang berkenaan, tahap profesionalisme ahli politik akan dipandang lebih tinggi.

Tujuh prinsip utama perlu ditekankan dalam penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik yang bakal dibentangkan di Parlimen. - Foto hiasan BERNAMA
Tujuh prinsip utama perlu ditekankan dalam penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik yang bakal dibentangkan di Parlimen. - Foto hiasan BERNAMA

"Penggubalan undang-undang ini mengesahkan kuasa yang lebih efektif dan berintegriti bukan hanya sekadar menyekat budaya rasuah dalam politik," katanya.

Pakar ekonomi, Dr Edmund Terence Gomez pula berkata sikap tidak bersungguh-sungguh untuk menggubal Akta pembiayaan politik mengesahkan penggubal undang-undang sama ada pembangkang dan kerajaan menerima pembiayaan politik daripada perniagaan.

Sebelum pilihan raya umum ke-14, parti pembangkang begitu lantang menyokong penggubalan pembiayaan politik dan reformasi institusi.

Namun, katanya selepas 2018, desakan bagi pembaharuan institusi ini tidak begitu diketengahkan termasuk dalam penggubalan undang-undang mengenai dana politik.

"Ini jelas menunjukkan sememangnya ada perniagaan yang menjadi pembiaya politik mereka di kedua-dua pihak sekarang," katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga tidak ditekankan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

Sekarang masa terbaik rumus RUU dana politik

Seorang lain ahli panel dalam persidangan itu, Pengarah Penyelidikan Bait Al-Amanah, Benedict Weerasena, berkata ini adalah masa yang sesuai untuk rang undang-undang berkaitan dana politik ini digubal ketika kerajaan dan PH sudah ada MoU bersama,

"Tidak pernah kita terfikir adanya persefahaman antara pembangkang dan kerajaan dalam isu lompat parti dan kini kita kena mengorak langkah duduk berbincnag bersama mengenai dana politik ini.

"Kita mulakan dulu dengan pembentangannya di Parlimen dan selepas itu mana-mana perubahan boleh dilakukan. Apa yang penting sekarang adalah kita bentangkan dulu undang-undang ini demi menaikkan maruah dan integiriti ahli Parlimen sebagai penggubal undang-undang," katanya.

Berita Harian X