Khamis, 23 Jun 2022 | 6:16pm
 Loy Sian (kiri) meninjau operasi kilang memproses sawit yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih di Rinching Hulu, Semenyih. NSTP/AZHAR RAMLI
Loy Sian (kiri) meninjau operasi kilang memproses sawit yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih di Rinching Hulu, Semenyih. NSTP/AZHAR RAMLI

Kilang proses kelapa sawit disyaki cemar Sungai Semenyih

KAJANG: Sisa daripada sebuah kilang memproses kelapa sawit di Jalan Rinching Hulu, Semenyih di sini, dipercayai menjadi punca berlaku pencemaran bau yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihentikan tugas, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, berkata LRA Sungai Semenyih terpaksa dihentikan tugas pada jam 10.15 pagi sehingga jam 12.45 tengah hari tadi kerana berlaku pencemaran di Sungai Semenyih.

"Berikutan kejadian itu, tugas merawat air di LRA Sungai Semenyih terganggu kira-kira dua setengah jam sebelum operasi dan bekalan air disambung semula pada jam 1.45 tengah hari.

"Bagaimanapun, pencemaran yang berlaku kali ini tidak masuk ke muka sauk LRA dan keadaan itu berjaya dikawal dalam tempoh tidak melebihi empat jam, justeru tidak memberi impak ke atas bekalan air kepada pengguna. Ia hanya mengakibatkan LRA Sungai Semenyih dihenti tugas sementara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan lokasi yang dikenal pasti menjadi punca pencemaran dalam premis kilang memproses kelapa sawit terbabit, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Hasrolnizam Shaari dan Ketua Cawangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kajang, Abdul Aziz Chik serta wakil Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, siasatan LUAS di sekitar kawasan disyaki berpotensi berlaku pencemaran adalah di sekitar aliran air berhampiran sebuah premis kilang memproses kelapa sawit yang berlaku 'overflow' daripada 'sump' premis ke longkang, seterusnya mengalir ke Sungai Rinching.

"Pensampelan sudah dijalankan di 'sump' dan juga di kawasan premis, Sungai Semenyih serta muka sauk LRA Semenyih bagi tujuan analisa lanjut. Anggaran jarak lokasi pencemaran ke muka sauk LRA Semenyih adalah kira-kira 16 kilometer.

"LUAS juga menjalankan pemantauan statik dan pensampelan di sekitar Jambatan Kampung Teras Jernang dan pensampelan ujian bau dijalankan setiap 30 minit. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, tiada sebarang pencemaran dikesan di kawasan muka sauk LRA," katanya.

Bliau berkata, LUAS juga sudah membuat laporan polis berhubung pencemaran itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini.

"Kes sebegini sudah beberapa kali berlaku sebelum ini sehingga dua kali LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas, namun tidak diketahui punca dari mana pencemaran itu berlaku.

"Dilaporkan kes pencemaran sebelum ini tidak dapat dikaitkan dengan premis kilang terbabit ekoran tiada bukti kukuh untuk mengaitkan kilang itu dengan insiden pencemaran.

"Dalam pada itu, pensampelan ujian bau yang dilaksanakan LUAS sebelum ini mendapati ia bau yang sama seperti insiden kali ini," katanya.

Loy Sian berkata, pihak LUAS akan mengeluarkan arahan mengikut Seksyen 121(1) Enakmen LUAS kepada pihak premis bagi menjalankan kerja kawalan dan pembersihan segera di tapak.

Selain itu, beliau berkata, ada yang mencadangkan kilang terbabit yang sudah beroperasi kira-kira 30 tahun berpindah ke lokasi lain sebagai jalan penyelesaian jangka panjang kerana operasi kilang terbabit jelas menimbulkan kesan buruk pencemaran di Sungai Semenyih.

Katanya, Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.

Berita Harian X