Khamis, 23 Jun 2022 | 4:36pm

Bidang TVET tawar peluang pekerjaan masa depan

SUNGAI PETANI: Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu dilihat sebagai peluang kepada golongan belia di negara ini mendapat pekerjaan dan meraih pendapatan setimpal pada masa depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihak industri perlu melihat imej TVET kini sebahagian bidang profesional dan pekerjanya perlu ditawar gaji setimpal kelayakan serta kemahiran mereka.

Katanya, jika perkara itu dapat dicapai, pendidikan TVET bakal menjadi pilihan golongan belia melanjutkan pelajaran, sekali gus menangkis tanggapan negatif mengenai bidang itu.

"Disebabkan itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) cukup yakin pada cadangan menghantar pekerja mahir Malaysia bekerja di Jepun seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini, bakal memberi kelebihan kepada graduan institusi TVET@KPLB.

"Kita menjangka lepasan pelajar TVET@KPLB bakal mengisi ruang dan peluang sebagai pekerja mahir itu berikutan kerjasama MARA dan universiti di Jepun sejak 1993 lagi melalui Program Pendidikan Tinggi Malaysia-Jepun (MJHEP) yang kini dikenali sebagai Program Universiti Jepun (JUP)," katanya berucap merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 yang berlangsung di Amanjaya Mall di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah;Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi.

Mahdzir berkata, TVET dianggap satu daripada kekuatan sistem pendidikan di negara maju seperti Jerman, Jepun dan Perancis, malah negara serantau seperti Korea Selatan, China dan Singapura turut berusaha mengukuhkan bidang berkenaan.

"Korea Selatan misalnya, membangun dengan pantas daripada negara yang musnah akibat peperangan kepada kuasa besar ekonomi kerana penguasaan dalam bidang TVET.

"Mereka menyedari untuk bersaing di peringkat global, perlu diwujudkan pendidikan yang dapat memastikan semua pelajar disokong dan boleh berjaya tanpa mengetepikan pelajar berprestasi rendah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KPLB akan terus memberi tumpuan menyokong pembangunan modal insan bagi meningkatkan pembabitan golongan belia luar bandar dalam arus pembangunan melalui penyediaan kemudahan dan peluang pendidikan dalam bidang TVET.

"Sehingga 31 Mac lalu, seramai 48,800 pelatih sedang mengikuti pengajian di institusi TVET@KPLB dan dijangka jumlahnya akan mencecah 60,000 pelatih apabila pengambilan sesi Julai 2022 bermula.

"Berikutan itu, usaha perlu diteruskan bagi meningkatkan keterlihatan institusi TVET@KPLB dengan menggunakan kelebihan yang ada bagi menarik lebih ramai penyertaan golongan belia," katanya.

Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KPLB 2022 berlangsung tiga hari sehingga Sabtu ini, bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai peluang dalam bidang berkenaan terutama penduduk di utara Semenanjung mengenai program ditawarkan di negara ini.

Mahdzir (tengah) bergambar selepas merasmikan Ekspo TVET@KPLB 2022 di Dataran Amanjaya Mall. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Mahdzir (tengah) bergambar selepas merasmikan Ekspo TVET@KPLB 2022 di Dataran Amanjaya Mall. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X