Khamis, 23 Jun 2022 | 2:12pm

'Ramai jangka jodoh kami tak lama'

KOTA TINGGI: "Ada yang meramalkan hubungan kami tidak lama. Alhamdulillah walaupun pelbagai cabaran dialami, bahtera rumah tangga kami bina bakal mencapai usia dua tahun pada 28 November ini," kata guru sekolah, Suhana Mohd Esa, 48.

Suhana berkata, sejak kisah perkahwinan dengan suaminya Muhammad Akmal Yusof, 23, yang juga bekas anak muridnya tular di media sosial, ia menjadi rujukan beberapa pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, walaupun perkara itu sesuatu yang baharu bagi dirinya, dia tidak pernah menolak apabila diminta memberi nasihat dan pandangan berkaitan perkahwinan.

"Ia bergantung kepada diri sendiri dan rezeki masing-masing, walaupun saya bukan pakar kaunseling dalam perkara berkenaan namun saya tidak pernah menolak apabila ada pasangan berdepan dengan situasi seperti kami.

"Jurang usia kami 25 tahun, sekiranya saya menyatakan tidak pernah timbul perselisihan faham ia adalah tidak benar kerana ia menjadi asam garam kehidupan rumah tangga.

"Namun pelbagai cabaran, kritikan dan ulasan ramai meningkatkan semangat kami memperbaiki lagi kehidupan rumah tangga sekali gus membina pemikiran positif.

"Alhamdulillah... dalam tempoh hampir dua tahun ini, suami bertambah matang dalam pengurusan rumah tangga mahupun mengurus perniagaan kami," katanya.

Suhana yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar, Kota Tinggi di sini dan memiliki pengalaman selama 18 tahun sebagai warga pendidik berkata, jatuh bangun dia dan pasangan dalam perniagaan turut memperkukuhkan lagi hubungan mereka.

Menurutnya, buat masa ini dia dan suaminya memiliki dua cawangan restoran di Kota Tinggi dan bercadang menambah cawangan di Melaka serta Kuala Lumpur pada masa depan.

Sementara itu, Muhammad Akmal berkata, dia mengakui kisah berkaitan perkahwinannya yang masih tular di media sosial menambah rezeki apabila restorannya lebih dikenali dan dikunjungi ramai.

Anak keempat daripada enam beradik Itu berkata, ia termasuk pelanggan dari Singapura mahupun dari luar negeri.

"Saya sebelum ini segan bagi berdepan dengan individu namun kini bertambah yakin dengan diri sendiri.

"Kami berdua juga sentiasa beringat bahawa tidak akan mencampur-adukkan masalah rumah tangga dalam perniagaan," katanya.

Pada 19 Ogos 2021 media melaporkan kisah percintaan Akmal dan bekas gurunya, Suhana. Akmal selamat diijabkabulkan pada akhir November 2020 di Pejabat Agama Kota Tinggi.

Suhana mengajar mata pelajaran Sains Sukan ketika Akmal di Tingkatan Lima dan ketika itu hubungan mereka tidak lebih daripada seorang guru dan pelajar.

Guru, Suhana Mohd Esa dan suami, Muhammad Akmal Yusof menguruskan restoran di Kota Tinggi, Johor. - Foto NSTP/Mary Victoria Dass
Guru, Suhana Mohd Esa dan suami, Muhammad Akmal Yusof menguruskan restoran di Kota Tinggi, Johor. - Foto NSTP/Mary Victoria Dass
Berita Harian X