Khamis, 23 Jun 2022 | 12:54pm
Seramai 125 penternak, pemborong dan peruncit telur serta ayam segar di negeri ini dikenakan kompaun kerana mencatut harga dua bahan mentah berkenaan setakat minggu lalu. - Foto hiasan NSTP
Seramai 125 penternak, pemborong dan peruncit telur serta ayam segar di negeri ini dikenakan kompaun kerana mencatut harga dua bahan mentah berkenaan setakat minggu lalu. - Foto hiasan NSTP

125 kompaun kerana catut harga telur, ayam

ISKANDAR PUTERI: Seramai 125 penternak, pemborong dan peruncit telur serta ayam segar di negeri ini dikenakan kompaun kerana mencatut harga dua bahan mentah berkenaan setakat minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han, berkata tindakan kompaun itu diambil susulan 4,657 pemeriksaan membabitkan peruncit, pemborong dan pengeluar dua bahan mentah berkenaan bermula 5 Februari dan 13 Jun lalu.

"Sebanyak 125 tindakan kompaun menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 diambil bagi menangani tindakan tidak bertanggungjawab menaikkan harga telur dan ayam sesuka hati.

"Ia membabitkan 10 kompaun kepada peladang, 15 pemborong dan 100 lagi tindakan ke atas peruncit dengan jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM102,600 bagi kesalahan di bawah Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur Ayam," katanya menjawab soalan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli bertanya mengenai tindakan kerajaan negeri dalam menangani isu kenaikan harga barang di negeri ini.

Dalam pada itu Ting Han yang juga ADUN Paloh berkata kerajaan Johor menjalin kerjasama pintar bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk menangani kenaikan harga barang.

"Inisiatif yang telah dan sedang dilaksana oleh KPDNHEP Johor adalah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) untuk semua perayaan bagi melindungi pengguna dan membanteras peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga tanpa had bagi mendapat keuntungan tinggi.

"Hasil penguatkuasaan SHMMP Tahun Baru Cina yang dilaksanakan pada 29 Januari hingga 4 Februari lalu, KPDNHEP Johor telah melakukan 574 pemeriksaan di peringkat peladang, pemborong dan peruncit dan sebanyak 28 kes telah didakwa dengan jumlah kompaun sebanyak RM 3,800 telah dikenakan.

"Hasil penguatkuasaan SHMMP pada Hari Raya Puasa 2022 pada 26 April hingga 10 Mei lalu, KPDNHEP Johor telah melakukan 586 pemeriksaan di peringkat peladang, pemborong dan peruncit.

"Sebanyak 14 kes telah didakwa dengan jumlah kompaun dikenakan berjumlah RM 2,000," katanya.

Berita Harian X