Khamis, 23 Jun 2022 | 8:52am
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Industri Koko Malaysia (AIKM) 2022 di Magellan Sutera. - Foto MOHD ADAM ARININ
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Industri Koko Malaysia (AIKM) 2022 di Magellan Sutera. - Foto MOHD ADAM ARININ

Zuraida alu-alukan Ahli Parlimen sertai Parti Bangsa Malaysia

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang bakal menjadi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengalu-alukan mana-mana ahli parlimen di Malaysia yang ingin menyertai parti terbabit.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, lebih ramai Ahli Parlimen yang berhasrat menyertai PBM bakal menjadikan parti terbabit lebih 'meriah'.

"Mereka (Ahli Parlimen) adalah dialu-alukan untuk menyertai parti dan mengukuhkan lagi blok saya. Lebih ramai lebih meriah," katanya pada media semasa sidang media selepas Majlis Anugerah Industri Koko Malaysia bertempat di The Magellan Sutera Resort, di sini, malam tadi.

Selain itu, Zuraida turut berkata, pihaknya juga membentuk struktur akar umbi PBM di Sabah di mana sebanyak 26 bahagian termasuk di Labuan sudah ditubuhkan setakat ini.

Media sebelum ini melaporkan Zuraida mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU dan kemudian menyertai PBM menerusi satu kenyataan media bertarikh 26 Mei lepas.

Walau bagaimanapun, beliau dilaporkan berharap dapat mengekalkan jawatannya dalam kabinet untuk menyelesaikan segala program dan perancangan kementerian yang diterajuinya.

Sementara itu, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendiriannya bahawa parti itu tidak akan berganjak kerana kuota yang diduduki Zuraida sebagai menteri adalah milik parti terbabit.

Presiden PBM, Larry Sng juga dilaporkan telah memutuskan untuk mengangkat Zuraida sebagai bakal Presiden (president-designate) parti terbabit.

Berita Harian X