Khamis, 23 Jun 2022 | 7:53am

MEASAT-3d: Malaysia mampu capai liputan 100 peratus 2025

KUALA LUMPUR: Pelancaran satelit MEASAT-3d berupaya membolehkan negara mencapai liputan komunikasi 100 peratus menjelang 2025.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata capaian liputan itu berdasarkan pengoperasian penuh satelit terbabit dalam tempoh terdekat.

"(Menerusi satelit ini) kita boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar menjadikan perkhidmatannya berkelajuan tinggi seperti mana kita gunakan melalui rangkaian gentian optik yang sedang dilaksanakan di kawasan yang maju.

"Jadi, beberapa bulan lagi kita sudah boleh guna perkhidmatan ini dan dalam masa tiga tahun, kita boleh capai liputan 100 peratus," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ketika menyaksikan pelancaran satelit MEASAT-3d yang dipancarkan secara langsung dari European Spaceport di Kourou, French Guiana.

Siaran langsung pelancaran itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menantikan detik bersejarah itu sejak jam 4.30 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pelancaran MEASAT-3d adalah satu perkembangan baik kepada negara kerana ia penting dalam menjayakan sepenuhnya Pelan Digital Negara.

Katanya, ia juga secara tidak langsung melengkapkan program di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"Walaupun kita mempunyai jangkaan liputan yang boleh mencapai 97 peratus di bawah JENDELA 1 yang menghubungkan kawasan berpenduduk dengan menggunakan kaedah gentian optik, namun terdapat tiga peratus lagi membabitkan kawasan pedalaman yang tidak dapat kita sambungkan menggunakan jaringan gentian optik.

"Kawasan ini sudah tentu perlu menggunakan teknologi satelit. Lagipun memang kita sudah menggunakan teknologi satelit tetapi lazimnya ia memberikan perkhidmatan jalur lebar kapasiti yang rendah," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan siaran lintas langsung pelancaran MEASAT-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL) hari ini. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan siaran lintas langsung pelancaran MEASAT-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL) hari ini. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. - Foto BERNAMA
Berita Harian X