Rabu, 22 Jun 2022 | 6:09pm
Fasa peralihan pandemik COVID-19 ke endemik antara faktor dilihat menyebabkan rakyat tidak lagi panik biarpun terdapat laporan kemungkinan berlaku gelombang baharu jangkitan COVID-19. - NSTP/ARKIB
Fasa peralihan pandemik COVID-19 ke endemik antara faktor dilihat menyebabkan rakyat tidak lagi panik biarpun terdapat laporan kemungkinan berlaku gelombang baharu jangkitan COVID-19. - NSTP/ARKIB

COVID-19: Beralih ke endemik punca rakyat bersikap sambil lewa

KUALA LUMPUR: Fasa peralihan pandemik COVID-19 ke endemik antara faktor dilihat menyebabkan rakyat tidak lagi panik biarpun terdapat laporan kemungkinan berlaku gelombang baharu jangkitan COVID-19.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata keperluan untuk hidup bersama virus COVID-19 membuatkan masyarakat bersikap lewa, malah ada yang menolak dos penggalak.

Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. - NSTP/ARKIB
Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. - NSTP/ARKIB

"Kita dapat lihat perbezaan tindak balas masyarakat ketika pandemik dan menuju endemik, sekarang tidak lagi panik, malah lebih banyak sikap sambil lewa. Semakin hari kita lihat yang enggan ambil dan tolak dos penggalak pun ramai.

"Ada kanak-kanak masih tidak mengambil vaksin dan ini mengundang risiko jangkitan terutama di sekolah. Varian dan subvarian baharu akan sentiasa ada, termasuk yang terbaharu dilaporkan, iaitu subvarian Omicron BA.4 dan BA.5.

"Jadi kita perlu tahu tahap mana kebolehjangkitannya dan pada masa sama kekal patuh prosedur operasi standard (SOP) terutama pemakaian pelitup muka yang wajar diteruskan," katanya kepada BH hari ini.

Banyak negara mula melaporkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dengan dibimbangi berlaku gelombang baharu virus itu dan semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, COVID-19 juga bukan pandemik terakhir dihadapi manusia.

Pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, berkata masyarakat mungkin semakin menerima hakikat bahawa mereka perlu hidup bersama COVID-19.

Dr Hanafiah Bashirun. - NSTP/ARKIB
Dr Hanafiah Bashirun. - NSTP/ARKIB

"Kalau kita hendak tunggu sampai COVID-19 tidak ada, memang tidak logik. Kalau katakan kita mengharapkan sifar kes, memang sukar, lihat sahaja apa jadi kepada China, berbulan-bulan buat 'lockdown' (sekatan pergerakan) sebahagian wilayahnya, tapi kes tetap ada.

"Virus ini susah untuk kita kawal, yang senang untuk kawal adalah diri sendiri, jadi kerana itu kita perlu jaga diri, amal SOP," katanya.

Dalam pada itu, Dr Hanafiah berpendapat, tempoh dua tahun pandemik COVID-19 sewajarnya memberi banyak pengajaran kepada semua pihak berkaitan dan begitu juga rakyat.

"Menghadapi pandemik di era moden, apa yang perlu adalah langkah pencegahan dan tidak perlu buat 'lockdown' seluruh negara, apa sahaja virus tidak akan jadi sifar, kalau kita hendak ke arah endemik, sama-sama kita tuju ke arah itu.

"Tak payah sibuk-sibuk untuk kita tahu jumlah kes dan data harian, seperti kita tidak sibuk untuk tahu jumlah kes influenza, denggi atau tuberkulosis," katanya.

Berita Harian X