Rabu, 22 Jun 2022 | 5:35pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

1,254 kes babit kesalahan berkaitan penjualan ayam - KPDNHEP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sebanyak 1,254 kes membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan penjualan ayam dan telur termasuk 121 kes menjual bekalan itu melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata bagi semua kesalahan itu, KPDNHEP turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM307,500 dengan jumlah sitaan sebanyak RM182,732.64.

Beliau berkata, semua kesalahan itu direkodkan KPDNHEP sejak Januari hingga Isnin lalu, membabitkan kesalahan di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

"Sebanyak 1,254 kes kesalahan direkodkan KPDNHEP membabitkan tindakan daripada 13 pengeluar, 43 pemborong dan 1,198 peruncit.

"Selain kesalahan penjualan ayam melebihi harga maksimum, peniaga turut dikesan melakukan kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas iaitu sebanyak 1,087 kes dan 46 kes membabitkan tiada tanda harga.

"Daripada RM307,500 nilai kompaun, RM50,000 dikenakan kepada pengeluar, RM61,700 (pemborong) dan RM195,800 (peruncit)," katanya kepada BH, di sini.

Pada Januari lalu, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit baharu bagi ayam standard menjadi RM8.90 manakala harga telur ayam bagi semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dijangka tamat akhir bulan ini.

Pada masa sama, Rosol berkata, daripada 121 kesalahan penjualan melebihi harga maksimum itu, 16 kes membabitkan ayam hidup; 80 (ayam standard) tiga (ayam super) dan baki 22 kes membabitkan telur.

Beliau berkata, kesalahan paling banyak direkodkan di Perak iaitu 161 kes; diikuti Kelantan (137); Johor (131); Kedah (130); Selangor (115); Pahang (89) dan Melaka (85).

Katanya, anggota penguat kuasa KPDNHEP melakukan sebanyak 77,282 pemeriksaan dalam tempoh sama membabitkan 13 premis pengeluar; 1,296 pemborong dan 75,793 peruncit.

Berita Harian X