Rabu, 22 Jun 2022 | 2:51pm
Laporan dalam BH Online semalam.
Laporan dalam BH Online semalam.

'Impian imam Amir bertemu Siti Aminah bakal jadi kenyataan'

SEGAMAT: "Alhamdulilah...akhirnya insan yang lama saya cari menghubungi pagi ini dan ia adalah kenangan tidak dapat dilupakan sepanjang hayat," kata Amir Hassan, 72.

Amir berkata, wanita berusia 60-an itu menghubungi pada 9 pagi ini dan mengakui adalah insan yang dikesan sejak 50 tahun.

Menurutnya, malah wanita berkenaan yang kini berstatus ibu tunggal juga menyatakan memiliki tiga anak, selain pasangan hidupnya sudah meninggal dunia.

"Rupa-rupanya saya tersilap kerana namanya bukan Siti Fatimah tetapi Siti Aminah dan kini dia menetap di Felda Bukit Batu, Kulai.

"Perbualan antara kami selama setengah jam pagi tadi terhenti seketika apabila dia tidak dapat menahan sebak mengenang persahabatan kami.

"Dia menyatakan melihat gambar lama saya yang disiarkan di laman Harian Metro dan masih ingat rupa saya ketika muda.

"Dia juga menceritakan kenangan lama ketika bertemu di stesen kereta api dan suara lembutnya masih tidak berubah," katanya yang juga imam di Kampung Tasik Alai, Segamat di sini,

Amir berkata, dia bersyukur kerana perbualannya dengan Siti Aminah tidak dihalang oleh kedua belah keluarga, malah masing-masing menghormati nilai persahabatan mereka.

Menurutnya, malah dia bersama ahli keluarga juga bercadang menziarahi Siti Aminah pada Isnin depan di Kulai.

Katanya, dia berharap segala perancangannya berjalan lancar tanpa sebarang halangan.

"Saya mahupun ahli keluarga tidak sabar untuk bertemu dengan Siti Aminah yang mungkin kini sudah berubah rupanya kerana masing-masing sudah dimamah usia.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada netizen yang memberi sokongan dan mendoakan usaha saya mencari Siti Aminah berjaya," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Siti Aminah Hashim, 69, berkata, selepas melihat paparan Harian Metro, dengan kebenaran ahli keluarga dia menghubungi sahabat lamanya itu.

Menurutnya, selepas terputus hubungan dengan Amir, dia tinggal di Johor Bahru sebelum ke rumah adik lelakinya di Felda berkenaan.

"Saya pernah membuka perniagaan sendiri termasuk menjual sate dan ikan bakar namun atas faktor usia anak meminta saya untuk berehat di rumah.

"Saya pernah tanya rakan berkaitan Amir sebelum ini namun tidak menerima sebarang maklumat, oleh itu saya hanya berserah kepada Allah sekiranya ada rezeki, kami tetap bertemu.

"Walaupun dia lupa nama sebenar saya namun apabila membaca jalan cerita di facebook (fb), saya merasakan mesej itu ditujukan kepada saya.

"Dia memanggil saya dengan gelaran Ati iaitu ringkas Siti dan seperti orang muda lain, ada usia berkenaan dia juga berhasrat menghadiahkan saya sesuatu sebagai tanda persahabatan.

"Tidak sangka dia masih berpegang kepada janji lama dan menyatakan akan menziarahi keluarga kami pada Isnin ini," katanya.

Semalam, Berita Harian melaporkan hasrat seorang pesara tentera untuk bertemu dengan sahabat lama yang terputus hubungan untuk memberikan hadiah sebagai tanda perkenalan seperti dijanjikan 50 tahun lalu.

Amir mengakui berkenalan dengan wanita berkenaan pada Disember 1970-an dan pernah beberapa kali bertemunya di sekitar stesen kereta api di Johor Bahru.

Menurutnya, Siti Aminah adalah sahabat yang baik dan ketika itu wanita berkenaan hanya berusia 18 tahun.

Malah, katanya, ketika itu dia turut berjanji mahu memberikan hadiah sebagai tanda perkenalan atau persahabatan.

Malangnya, beberapa bulan selepas perkenalan itu, dia terputus hubungan kerana bertugas di Sarawak, manakala Siti Aminah pula menetap di Felda di Kulai.

Dia juga sudah berusaha menjejaki Siti Aminah sejak bersara namun gagal malah rakan juga membantu namun tidak memperoleh sebarang maklumat berkaitan sebelum ini.

Berita Harian X