Selasa, 21 Jun 2022 | 2:41pm
Nancy (tengah) bergambar bersama warga kerja Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada Majlis Pelancaran Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan 2.0 Motac hari ini. - Foto Bernama
Nancy (tengah) bergambar bersama warga kerja Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada Majlis Pelancaran Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan 2.0 Motac hari ini. - Foto Bernama

MOTAC sasar 4.5 juta ketibaan pelancong antarabangsa

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini menyasarkan ketibaan 4.5 juta pelancong antarabangsa dengan perolehan pendapatan sebanyak RM11.1 bilion hingga hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sebelum ini MOTAC menyasarkan sebanyak dua juta pelancong susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai 1 April lalu.

"Ini kerana pada April sahaja, ketibaan antarabangsa adalah seramai 567,299 orang, Mei (1.03 juta) dan sehingga 17 Jun lalu, seramai 773,925 orang menjadikan keseluruhan seramai 2.38 juta orang.

"Ia membabitkan ketibaan asing dari Singapura, diikuti India serta Filipina, Thailand dan Arab Saudi.

"Malah baru-baru ini ketika kita berada di Paris, ramai pelancong luar tertarik dengan keunikan seni budaya dan ia mungkin menjadi tarikan untuk mereka datang ke Malaysia," katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya untuk bulan ini sahaja, ketibaan pelancong dari India mencatatkan rekod seramai 25,000 orang.

"Jadi sasaran dua juta keseluruhan 2022 pada April lalu sangat optimistik dan pada September depan, kita akan menyemak lagi sasaran 4.5 juta ini berikutan ketibaan asing ketika ini menunjukkan momentum semakin baik," katanya.

Terdahulu, Nancy melancarkan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan 2.0 (TRF 2.0) iaitu kesinambungan Pelan Pemulihan Pelancongan 1.0 yang lalu, selaras dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

"Pelaksanaan TRF2.0 tidak lagi tertumpu pada kelangsungan (survivability) dan pembukaan semula (reopening) aktiviti pelancongan, tetapi kerajaan akan menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan negara, menggalakkan kerjasama pintar antarabangsa dan nasional.

"Selain itu, ia juga langkah untuk memperkasakan masyarakat setempat, mengukuhkan daya tahan serta memastikan kemampanan industri pelancongan negara dalam mendepani ketidakpastian masa depan," katanya.

Dalam TRF 2.0, ia menggariskan lima tonggak strategi pelancongan iaitu, Menyokong Pemulihan Perniagaan Pelancongan dan Kebudayaan; Memulihkan Keyakinan Pelancong dan Perjalanan Antarabangsa dan Intra-Rantau yang Lancar serta Mencipta Semula Produk atau Perkhidmatan Pelancongan dan Kebudayaan Bagi Memacu Daya Saing.

Selain itu, ia juga berkaitan strategi Menyelaraskan Pelancongan Dengan Kemampanan dan Keterangkuman dan Memperkukuh Pemulihan Ketahanan Jangka Panjang dan Kesediaan Menghadapi Krisis.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak RM23.8 juta bantuan kewangan sudah diberikan kepada lebih 15,000 pengusaha pelancongan dan lebih RM4.73 juta nilai baucar ditebus bagi pembelian produk kraf, seni visual dan buku bagi membantu pengusaha atau penggiat industri kebudayaan.

"Selain itu, sebanyak RM2.35 juta nilai baucar ditawarkan bagi pakej pelancongan dan pengangkutan darat.

"Sehingga 15 Jun lalu, sebanyak 342 permohonan dengan jumlah nilai RM1.64 juta telah diluluskan bagi inap desa dan 43 permohonan dengan jumlah nilai RM886 ribu telah diluluskan bagi hotel bajet bagi tujuan pembaikan, " katanya.

Berita Harian X