Isnin, 20 Jun 2022 | 6:34pm
 Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah

'Masih banyak perlu dilakukan untuk pendidikan anak pelarian'

KUALA LUMPUR: Masih banyak perkara perlu dilakukan bagi membantu pendidikan anak-anak pelarian di Malaysia termasuk memberi pengiktirafan bagi mereka yang berjaya memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran tertentu supaya dapat melanjutkan pelajaran, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, walaupun Malaysia sudah memudah cara Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dalam mengatur dan menjalankan sesi persekolahan untuk kanak-kanak terbabit melalui Pusat Pembelajaran Alternatif (ALC), terdapat keperluan untuk menambah baik pengurusan pendidikan bagi golongan itu.

"Sebagai contoh, sejauh mana kita boleh bantu dari segi latihan perguruan dan pengiktirafan bagi pelajar yang berjaya memperoleh tahap pengetahuan serta kemahiran bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran.

"Ia adalah mengenai bagaimana kita dapat laksanakan sesuatu dengan lebih baik…kita mungkin perlu membuat pembentangan secara lebih tersusun di Kabinet untuk menyelesaikan perkara ini, Wisma Putra sentiasa bersedia mengetuai penyediaan kertas kerja itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbincangan meja bulat peringkat tinggi mengenai pendidikan pelarian dalam konteks komitmen Malaysia terhadap pendidikan inklusif dan merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di sini sempena Hari Pelarian Sedunia 2022, hari ini.

Saifuddin berkata, Malaysia menjadi tuan rumah kepada beribu-ribu anak pelarian dan adalah wajar serta berperikemanusiaan untuk memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan.

Beliau berkata, hanya kira-kira 30 peratus kanak-kanak pelarian menerima pendidikan di ALC.

Katanya, menjadi dasar kerajaan tidak membenarkan anak pelarian belajar di sekolah awam, sebaliknya kerajaan memudah cara CSO dalam menguruskan persekolahan untuk anak pelarian melalui ALC.

"Meskipun Malaysia bukan pihak kepada Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, kerajaan sudah menyalurkan bantuan dan perlindungan kepada pelarian atas dasar kemanusiaan termasuk dalam bidang pendidikan dan kesihatan," katanya.

Saifuddin dalam ciapan di Twitternya berkongsi pandangan, Malaysia perlu meneruskan usaha supaya pelarian mendapat pendidikan demi kepentingan nasional negara bagi memastikan mereka boleh pulang, ditempatkan semula dengan berjaya dan menyumbang kepada masyarakat. – BERNAMA

Berita Harian X