Isnin, 20 Jun 2022 | 5:16pm
 Rina menyampaikan APC kepada kakitangan kementeriannya hari ini. NSTP/ Samadi Ahmad.
Rina menyampaikan APC kepada kakitangan kementeriannya hari ini. NSTP/ Samadi Ahmad.

KPWKM cadang perluas khidmat sakit tuan di KNS seluruh negara

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang memperluaskan perkhidmatan sakit tuan di Klinik Nur Sejahtera (KNS) di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata sebelum ini ia dikhususkan kepada golongan wanita untuk mendapatkan perkhidmatan sakit puan di KNS yang diwujudkan di Kuala Lumpur dan kelmarin, kementeriannya melancarkan projek rintis di Dungun, Terengganu bagi perkhidmatan saringan kesejahteraan kesihatan lelaki.

Beliau berkata, projek rintis ini bertujuan membantu golongan lelaki yang berdepan masalah kesihatan sakit tuan, selain mendapatkan maklum balas sebelum diperluaskan di 47 KNS lain di seluruh negara.

Katanya, kebanyakan golongan lelaki malu untuk menceritakan masalah penyakit dihadapi mereka seperti hyperplasia prostat benigna (BPH) atau pembesaran prostat bukan kanser.

"Pada pelancaran projek rintis semalam ada dalam kalangan lelaki tampil membuat pemeriksaan dan menceritakan masalah kesihatan dihadapi mereka, dari sini kita mendapat maklum balas sama ada program ini mendapat sambutan atau tidak sebelum diperluaskan di seluruh negara.

"Perkhidmatan kesejahteraan lelaki ini sebagai tambahan kepada fungsi utama KNS yang lebih menjurus kepada kesihatan reproduktif wanita dan sebelum hanya disediakan di KNS di Kuala Lumpur," katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff.

Seramai 642 menerima anugerah dan 15 daripadanya membabitkan golongan orang kurang upaya (OKU) iaitu pegawai dan kakitangan sokongan di KPWKM serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Semalam, media melaporkan, sempena Sambutan Hari Bapa peringkat Kebangsaan di KNS Dungun, Terengganu, KPWKM melancarkan projek rintis pertama di peringkat negeri yang menyediakan perkhidmatan tambahan khusus untuk bantuan psikososial dan pendidikan kesihatan kepada lelaki setempat.

Rina berkata, sepanjang bulan ini, kementeriannya turut menyediakan 100 pemeriksaan kepada lelaki untuk membuat saringan kesihatan di setiap negeri di seluruh negara.

"Kita berharap lebih ramai lelaki mengunjungi KNS di seluruh negara melalui perkhidmatan kesihatan daripada pakar yang disediakan," katanya.

Berita Harian X