Isnin, 20 Jun 2022 | 11:47am
Saarani bersama Ronald menyaksikan demonstrasi teknologi pertanian yang digunakan ketika melawat Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong di Kuala Kangsar. - (FOTO L Manimaran/BH)
Saarani bersama Ronald menyaksikan demonstrasi teknologi pertanian yang digunakan ketika melawat Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong di Kuala Kangsar. - (FOTO L Manimaran/BH)

Teknologi pertanian pintar jamin sekuriti makanan

Kuala Kangsar: Teknologi terkini dalam sektor pertanian dilihat sebagai jalan terbaik memastikan kelangsungan bekalan makanan di negara ini terjamin melalui impak pengeluaran makanan yang lebih besar, meningkatkan pendapatan petani, penggunaan sumber dan input pertanian lebih cekap.

Justeru penubuhan pusat yang berfungsi sebagai model perniagaan dan rujukan pemasaran hasil pertanian berteknologi adalah perlu kerana ia bukan sahaja berperanan sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian, tetapi juga memberi galakan kepada masyarakat untuk bercucuk tanam seterusnya berupaya memasarkannya.

Mengambil iktibar ini, Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) Manong, di sini diwujudkan, sekali gus memberi peluang dan pendedahan kepada golongan belia mengenai teknologi terkini sektor pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong di atas tanah berkeluasan 1.6 hektar itu sudah melalui proses naik taraf sebagai model perniagaan dan pusat rujukan pemasaran hasil pertanian berteknologi.

Beliau berkata, ia adalah yang pertama seumpamanya di Perak dan pembangunan pusat itu, sekali gus adalah manifestasi kerajaan mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar dan tidak dibangunkan milik kerajaan Persekutuan serta tanah Rizab Melayu yang disewakan bagi projek pertanian atau perniagaan.

Katanya, komponen di dalam pusat pemasaran berkenaan merangkumi Pusat Rujukan Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi yang berperanan sebagai pusat latihan bagi pertanian pintar berkonsepkan akuaponik dan vertical farming, serta projek pertanian fertigasi yang kini sudah dimulakan.

Katanya, 23 usahawan yang sebelum ini berniaga di tepi jalan dan rumah persendirian juga dikumpulkan di pusat pemasaran terbabit dengan memperoleh manfaat peningkatan pendapatan sebanyak 20 peratus.

Ronald berkata, kebersamaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkaitan teknologi baharu untuk pengaplikasian dalam penghasilan produk pertanian dan agromakanan, termasuk internet pelbagai benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) diperlukan bagi memperkukuh sekuriti makanan negara.

"Melaluinya pengeluaran sayuran dan buah-buahan bahkan ternakan ikan masih dibuat melalui pendekatan teknologi terbaik walaupun ada ruang tanah yang kecil.

"Kita yakin untuk bergerak ke pertanian moden menerusi sinergi antara kedua-dua kementerian selain pembabitan kerajaan negeri dan pihak swasta, secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import.

"Tentu sekali, ia juga memerlukan pembabitan pihak swasta bagi membangunkan industri pertanian agromakanan kepada satu tahap lebih tinggi termasuk kajian yang sentiasa dibuat berkaitan teknologi yang ada ke arah pertanian lebih moden," katanya ketika membuat lawatan kerja ke pusat itu, kelmarin.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, sebagai rekod, kaedah berkenaan yang hanya memerlukan dua tenaga kerja memberi pulangan sehingga RM90,000 pada suatu tempoh dengan pengeluaran dua komoditi iaitu sayuran berdaun organik sebanyak 3.3 tan metrik dan ikan tilapia sebanyak 4,000 ekor.

Katanya, pusat pemasaran Agromakanan FAMA Manong dilengkapi pelbagai fasiliti, termasuk pusat latihan, pusat jualan dan pemborongan, tapak pertanian, kafeteria dan medan penjaja iaitu Medan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS), serta pertanian pintar.

Dalam perkembangan berkaitan Zainal Abidin berkata, tiga lagi Pasar Tani Kekal (PTK) akan dibina oleh FAMA membabitkan kos kira-kira RM12 juta untuk tahun ini yang akan bermula Ogos depan iaitu di Cameron Highlands, Putrajaya dan Kuala Lipis, Pahang. 

Katanya, sehingga kini terdapat 40 PTK di seluruh negara yang mana lima daripadanya sedang dalam pembinaan, termasuk PTK Kuala Kangsar yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2023, selain di Kampung Gajah, Perak; FELDA Palong, Negeri Sembilan; Kuala Krai, Kelantan dan Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Beliau berkata, untuk PTK Kuala Kangsar, projek bernilai RM4 juta itu adalah transformasi pasar awam sebagai pusat sehenti dengan pengurusan lebih sistematik melalui penyediaan 116 lot baharu yang dijangka akan meningkatkan pendapatan dan nilai jualan peserta sebanyak 30 peratus.

"Setakat ini terdapat 40 PTK diseluruh negara, termasuk lima yang masih dalam pembinaan dengan jumlah peruntukan keseluruhan bagi penubuhan PTK adalah RM147.57 juta.

"Program ini (PTK) akan diteruskan sehingga akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menerusi peruntukan yang sudah diberi," katanya.

Beliau berkata, untuk tahun ini, jumlah kutipan jualan yang diperoleh setakat Mei lalu bagi kesemua PTK di negara ini ialah RM85 juta membabitkan 2,000 peniaga dengan sasaran nilai jualan sehingga hujung tahun ini adalah kira-kira RM200 juta. 

Berita Harian X