Isnin, 20 Jun 2022 | 11:30am

Kerajaan laksana Program Dermasiswa TVET untuk pelajar B40

SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Dermasiswa B40 Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khusus untuk pelajar B40 dengan pengambilan pertama membabitkan 1,000 orang, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, program terbabit disediakan untuk pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Pengambilan pertama akan membabitkan 1,000 pelajar dan kerajaan menjangkakan program ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM36.41 juta bagi setiap pengambilan.

"Saya yakin, program ini menawarkan lebih banyak peluang kepada anak Keluarga Malaysia, terutamanya daripada kumpulan B40 mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET," katanya berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu TVET Negara 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini..

Yang turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid.

Ismail Sabri berkata, beliau mahu melihat sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang 2025, seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Sehubungan itu, katanya, aspek akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan program TVET harus ditambah baik dengan pendedahan perlu dilaksanakan seawal usia muda supaya mereka lebih celik mengenai potensi laluan kerjaya TVET.

"Bilangan pelajar aliran vokasional dan teknikal di negara maju adalah tinggi. Di Jerman misalnya, TVET dianggap antara satu sistem pendidikan utama, sehingga 70 peratus pelajarnya memasuki aliran vokasional. Senario ini juga terdapat di negara maju di Asia seperti Korea Selatan yang berjaya bangkit dengan pantas daripada kemusnahan perang untuk muncul sebagai kuasa besar ekonomi hasil pengukuhan pendidikannya termasuk bidang TVET," katanya.

Dengan menjadikan dua negara berkenaan sebagai contoh, beliau berkata, amat signifikan untuk kerajaan menetapkan TVET sebagai antara perkara yang perlu diberikan keutamaan bagi memacu pembangunan ekonomi negara.

"Justeru, pelbagai strategi digariskan termasuk menangani isu pertindihan dan merombak tadbir urus TVET, mempromosi jenamanya selain meningkatkan kualiti program dan mewujudkan pangkalan data. Kerajaan turut memperkukuhkan penawaran program berorientasikan industri dan memperhebatkan pembabitan industri secara aktif bagi menyediakan graduan yang menepati keperluan mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan, biarpun kesedaran orang ramai terhadap pekerjaan sektor TVET yang memerlukan kemahiran spesifik dan menawarkan sumber pendapatan tinggi sudah meningkat, tetapi belum mencapai tahap yang disasarkan.

"Dalam usaha memperkasakan TVET, penjenamaan dan reputasinya perlu dipertingkatkan dan ini memerlukan usaha lebih jitu bagi mengukuhkannya secara holistik. Justeru, anjakan paradigma mesti dilakukan bagi meningkatkan persepsi positif dengan sokongan ibu bapa, belia dan industri terhadap TVET," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri juga turut mengisytiharkan tarikh 2 Jun sebagai Hari Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara.

Perdana Menteri berkata, pemilihan tarikh itu wajar disambut setiap tahun bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak berkaitan TVET.

"Tarikh ini juga bersempena penubuhan Politeknik Ungku Omar, iaitu institusi penyedia TVET terawal negara sejak tahun 1969," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, agenda Pemerkasaan TVET yang diterajui Majlis TVET Negara (MTVET) menggariskan beberapa inisiatif yang berimpak besar dan strategik.

Katanya, antara yang berjaya direalisasikan ialah pewujudan Hab Kolaborasi TVET (TCH) dan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC).

"Hari ini, satu lagi pencapaian bakal dicipta, iaitu pelancaran Pelan Penjenamaan TVET Nasional dan penganjuran Sambutan Minggu TVET Negara yang juga antara tindakan dalam Pelan Penjenamaan TVET Nasional.

"Saya difahamkan sambutan Minggu TVET Negara tahun ini bermula sejak Sabtu lalu dengan pengisian yang bermanfaat seperti seminar dan forum membabitkan pelbagai kementerian, penyedia TVET awam dan swasta serta pihak industri," katanya.

Foto hiasan
Foto hiasan
Berita Harian X