Isnin, 20 Jun 2022 | 9:44am

PAS masih berharap kerjasama dalam MN

KOTA BHARU: PAS tetap dengan pendirian dan masih lagi berusaha serta mengharapkan supaya wujud kerjasama dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), selagi Parlimen tidak dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata bagaimanapun jika UMNO masih berkeras juga untuk bertanding bersendirian maka PAS terpaksa hadapi perkara itu.

"Kita sudah biasa, sedia atau tidak sedia bila UMNO buat keputusan (untuk terus bekerjasama) maka kita kena hadapi. Kita tidak boleh terima jika UMNO hendak bekerjasama, PAS perlu tinggalkan BERSATU kerana jika boleh kita hendak sentiasa bersama untuk kepentingan semua.

"Mungkin kita dengan Muafakat Nasional (MN), Perikatan Nasional (PN), dan mungkin kita bersendirian. Jadi semua pilihan ini kita ambil kira dan kita bersedia untuk berdepan dengan semua pilihan berkenan," katanya kepada media selepas Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) & Pidato Ekonomi Sunnah 'Penggerak Pembangunan Ummah' di The Grand Renai Hotel, malam tadi.

Turut hadir Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Mohd Amar juga berkata, bagaimanapun untuk pemilihan kerusi dalam PRU-15 ia masih di peringkat perundingan dan sudah ada jawatankuasa yang dibentuk oleh parti untuk berunding.

Selain itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS sentiasa bersiap siaga hadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa kerana sudah hampir memasuki tahun kelima.

"Kita sudah sedia hadapi pilihan raya pada bila-bila masa. PAS pun menunggu tarikh yang diumumkan. Jika ia diumumkan awal, PAS akan membuat persediaan yang sepatutnya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Amar berkata, menerusi amalan demokrasi rakyat mempunyai hak untuk memilih parti untuk mentadbir kerajaan negeri.

"Di Kelantan, mereka mempunyai pilihan sama ada PAS, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) kerana itu sahaja parti yang ada rekod serta boleh dibuat perbandingan sebelum keputusan dibuat.

"Andai kata UMNO berhasrat untuk melantik Menteri Besar, PAS pun akan melakukan perkara yang sama begitu juga PH. Rakyat boleh menilai antara Menteri Besar PAS yang sekarang ini dengan yang dicalonkan oleh UMNO dan PH," katanya.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah) hadir pada Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) & Pidato Ekonomi Sunnah 'Penggerak Pembangunan Ummah' di Kota Bharu. Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kanan) dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (kiri). - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah) hadir pada Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) & Pidato Ekonomi Sunnah 'Penggerak Pembangunan Ummah' di Kota Bharu. Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (kanan) dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (kiri). - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X