Sabtu, 18 Jun 2022 | 5:52pm
Anggota TUDM dibantu kakitangan MetMalaysia melakukan proses pembenihan awan di sekitar Empangan Bukit Merah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Anggota TUDM dibantu kakitangan MetMalaysia melakukan proses pembenihan awan di sekitar Empangan Bukit Merah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pembenihan awan dibuat demi selamatkan lebih 20,000 hektar sawah

SUBANG: Paras air di Empangan Bukit Merah dekat daerah Kerian, Perak yang mencapai tahap kritikal sejak 27 Mei lalu, sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air memaksa Operasi Pembenihan Awan (OPA) dijalankan selama tiga hari bermula hari ini.

Operasi itu membabitkan empangan yang mengairi kawasan sawah seluas 19,058 hektar di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan 1,267 hektar kawasan IADA Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata selain menganggu aktiviti pertanian, situasi yang berlaku di empangan berkenaan yang merekodkan bacaan kritikal didapati turut memberi kesan terhadap bekalan air bagi tujuan domestik, perikanan dan industri.

"Dalam menangani isu ini, MAFI mengambil langkah segera bagi memulihkan bekalan air di kawasan yang terjejas dengan mendapatkan bantuan daripada MetMalaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kakitangan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), melakukan proses pembenihan awan di sekitar Empangan Bukit Merah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Kakitangan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), melakukan proses pembenihan awan di sekitar Empangan Bukit Merah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

"Operasi ini akan memberi manfaat kepada 8,889 pesawah di kawasan IADA Kerian dan 1,267 pesawah dari kawasan IADA Pulau Pinang.

"Anggaran kos penerbangan OPA pula adalah dalam lingkungan RM80,000 bagi setiap operasi, namun tertakluk kepada penilaian teknikal semasa," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan pemantauan persediaan OPA di Pangkalan TUDM di sini, hari ini.

Empat tangki masing-masing dengan dengan kapasiti isipadu 1,200 liter air larutan garam diterbangkan menerusi pesawat C-130 untuk menjalankan OPA.

Sebanyak 800 kilogram (kg) garam digunakan untuk tujuan itu.

Dua juruterbang, seorang pembantu juruterbang, lapan anak kapal dari TUDM dan tiga kakitangan pasukan pembenihan awan METmalaysia terbabit dalam operasi berkenaan.

Menurut Ahmad, OPA begitu mustahak untuk dijalankan di kawasan empangan berkenaan disebabkan kawasan tadahan air itu bergantung sepenuhnya terhadap hujan.

Kakitangan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), melakukan proses pembenihan awan di sekitar Empangan Bukit Merah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Kakitangan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), melakukan proses pembenihan awan di sekitar Empangan Bukit Merah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Tambahan pula, beliau berkata ketika ini pesawah di kawasan sudah mula menanam padi sejak beberapa bulan lalu, sekali gus OPA harus dilakukan segera supaya pengairan air ke kawasan sawah tidak terganggu.

"Paras air (di Empangan Bukit Merah) pada hari ini di tahap 27 kaki atau 8.23 meter. Sebelum ini hujan. Satu ketika, paras air tak sampai tahap kritikal.

"Tetapi malang sedikit kerana di Empangan Bukit Merah tidak ada mata air. Banyak bergantung kepada hujan.

"Padi sudah ditanam satu hingga dua bulan lalu. Dengan usaha ini, kita nak pastikan air mencukupi supaya dapat hasil bersesuai. Kita tak mahu membebankan pesawah yang bukan saja dari segi modal tetapi mengharapkan tuaian pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X