Sabtu, 18 Jun 2022 | 3:32pm
Tuanku Zara Salim (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja kepada Siti Khadijah Siti Khadijah Asha’ari yang ditemani ibu bapanya pada sesi pertama penganugerahan ijazah Konvokesyen ke-23 UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, hari ini. - Foto UPSI
Tuanku Zara Salim (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja kepada Siti Khadijah Siti Khadijah Asha’ari yang ditemani ibu bapanya pada sesi pertama penganugerahan ijazah Konvokesyen ke-23 UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, hari ini. - Foto UPSI

Tuanku Zara syor kaji pengalaman guru lalui PdPR

TANJUNG MALIM: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menyarankan satu kajian pengalaman guru ketika pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) semasa penularan pandemik COVID-19 dilaksanakan.

Baginda yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bertitah kajian dan laporan mengenai pengalaman itu boleh digunakan bagi mengenal pasti kelemahan dan kekurangan yang ada serta penambahbaikan yang boleh disarankan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Tuanku Zara menyarankan UPSI melakukan kajian berkenaan dan menyediakan laporan untuk dikemukakan kepada kerajaan.

"Kajian dan laporan selanjutnya boleh dikemukakan sebagai maklum balas penting kepada kerajaan agar menjadi pembuka mata kepada kerajaan dan profesion keguruan untuk menerokai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, praktikal serta realistik dalam suasana darurat dan di luar norma," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan sesi pertama penganugerahan ijazah sempena Konvokesyen ke-23 UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Konvokesyen kali ini menyaksikan 6,606 graduan menerima ijazah dan diploma, membabitkan 141 graduan ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana (683), ijazah sarjana muda (3,611), diploma pendidikan lepasan ijazah (189) dan diploma (1,982).

Tuanku Zara turut menzahirkan penghargaan kepada guru yang berupaya memenuhi tugas berat dipertanggungjawabkan dalam keadaan kekurangan peralatan ketika pelaksanaan PdPR, lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar terutama di kawasan yang mempunyai akses internet amat lemah dan terhad.

"Mereka (guru) tetap mempamerkan sifat istimewa yang luar biasa, sabar, tekun, gigih dan tabah," titah Raja Permaisuri Perak sambil menambah, kemajuan dan tahap intelek bangsa terletak pada tahap penguasaan ilmu yang boleh dicapai melalui pendidikan berkualiti dan khidmat bakti guru berdedikasi.

Tuanku Zara bertitah, Pendeta Za'ba menyifatkan ilmu sebagai asas terpenting yang menyelamatkan manusia daripada belenggu kemunduran, malah ilmu adalah asas utama untuk mencapai kejayaan.

"Guru insan berilmu yang berada dalam alam ilmu, berperanan sebagai perantara yang menyempurnakan amanah untuk menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu, malah guru adalah pendidik yang mengambil tanggungjawab membimbing manusia menemui sinar kebenaran melalui ilmu," titah baginda.

Baginda mengimbau, sejak 100 tahun lalu, bermula daripada penubuhan Sultan Idris Training College (SITC) pada 1922, UPSI memiliki akar sejarah sebagai institusi pengajian tinggi yang diamanahkan untuk melahirkan graduan pendidikan yang memenuhi tanggungjawab menjadi guru di seluruh pelosok negara.

"Guru memenuhi peranan mengajar, mendidik, sebagai pengasuh dan pembimbing yang memberikan panduan dan teladan, malah guru diasuh menjiwai semangat pendidik yang ikhlas, tekun, bersungguh, mengasuh dan membimbing anak-anak didik agar menjadi insan berilmu," titah Tuanku Zara lagi.

Baginda menegaskan, sebaik-baik kitab bagi seorang murid ialah gurunya, lantaran guru ialah pusat kepada pendidikan, bertanggungjawab mencanai minda murid, membekalkan kompas agar murid berupaya menakhodai pelayaran hidup, memberikan inspirasi dan motivasi kepada anak-anak didik.

Pada sesi pertama hari ini, Tuanku Zara menyampaikan ijazah secara anumerta kepada tiga pelajar UPSI yang diwakili keluarga masing-masing. Mereka adalah Sapawi Hamdan (PhD Syariah), Roshdan Ahmad (PhD Pendidikan Sains Sukan) dan S Kannadhasan (Sarjana Kesusasteraan Tamil).

Anugerah Diraja pula disampaikan kepada dua graduan Ijazah Sarjana Muda Psikologi Dengan Kepujian, iaitu Dusha Nanthakumar dan Siti Khadijah Asha'ari.

Berita Harian X