X
Sabtu, 18 Jun 2022 | 1:03pm
Johan Qari Aiman Ridhwan Mohamad (kiri) bersama Johan Qariah Sofiyah Mousin (kanan) pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar hari ini. - Foto BERNAMA
Johan Qari Aiman Ridhwan Mohamad (kiri) bersama Johan Qariah Sofiyah Mousin (kanan) pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar hari ini. - Foto BERNAMA

Aiman Ridhwan, Sofizah persiap diri hadapi Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa

JOHOR BAHRU: "Saya perlu berusaha lebih keras bagi mempersiapkan diri mewakili negara ke saingan peringkat antarabangsa termasuk berguru dengan lebih ramai ustaz untuk perbaiki bacaan," kata johan Qari Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan, Aiman Ridhwan Mohamad.

Aiman Ridhwan, 24 dari Taiping, Perak, berkata bacaan al-Quran dengan tarannum memerlukan latihan berterusan bagi memperkemaskan bacaan.

"Insya-Allah, saya akan terus berusaha mempersiapkan diri mewakili Malaysia ke saingan peringkat antarabangsa yang dijadualkan Oktober depan," kata pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Biarpun pernah kecundang di majlis tilawah dan hafazan peringkat negeri ketika berusia 18 tahun, beliau bersyukur dan terharu dengan kemenangan itu, sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000, piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.

"Sejak dari usia 18 tahun, ini adalah pertama kali saya menjadi johan di peringkat negeri bagi mewakili Perak seterusnya muncul johan di peringkat kebangsaan, sukar untuk menggambarkan betapa gembiranya saya malam tadi (kelmarin)," katanya.

Sementara itu, johan Qariah dari Selangor, Sofizah Mousin, 33, beranggapan cukup bertuah memenangi gelaran tersebut buat kali pertama setelah tiga kali berada di pentas majlis tilawah sebelum ini.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman SEA, SS2 Petaling Jaya, Selangor itu berkata, beliau tidak dapat membuat persiapan rapi kerana kedua-dua anak perempuannya berusia 14 bulan dan empat tahun jatuh sakit, dua minggu sebelum majlis berlangsung.

"Alhamdulillah dalam kesibukan menjaga anak-anak, saya dapat curi masa untuk berlatih dan memperkemaskan bacaan sebelum menyertai majlis tilawah kali ini.

"Saya akan lakukan yang terbaik ketika mewakili negara nanti dengan bimbingan guru agama saya selain lebih kerap membuat latihan intensif. Walaupun ada kekangan masa oleh kerana tugas harian, saya akan pastikan mempunyai cukup masa untuk berlatih," katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Sofizah berkata, setiap hari dia akan membuat latihan suara ketika memandu kereta dalam perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja.

"Selain berlatih secara formal, saya juga membuat latihan suara ketika memandu kereta pergi dan balik kerja," katanya.

Sementara itu, bagi kategori hafazan menyaksikan hafiz dari Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail diumumkan johan kategori 1 hingga 30 juzuk beserta tafsir apabila memperoleh 97.25 peratus markah, manakala hafizah dari Johor Nurjahidah Hadirah Alliar@Ilyas dinobatkan sebagai johan dengan pungutan markah 94.51 peratus.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000; tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan Haji dan piala iringan.

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur, 17 hingga 22 Oktober ini.

Berita Harian X